WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEJATI MADANI: HIDROPONIK JADI PENYELESAIAN PERTANIAN MODEN DI KAWASAN BANJIR SRI KULIM

02/11/2025 10:23 AM

KOTA BHARU, 2 Nov (Bernama) -- Banjir yang kerap melanda Kampung Sri Kulim, Melor, di lokaliti Padang Raja di sini kini bukan lagi penghalang kepada penduduk untuk terus bercucuk tanam. 

Melalui inisiatif Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), mereka kini mampu menjana pendapatan menerusi pertanian hidroponik, menjadikan kampung itu sebagai model pertanian moden di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sri Kulim Badrul Hisham Yaacob berkata projek bernilai hampir RM100,000 itu mula beroperasi sejak Mei lepas dengan kerjasama Jabatan Pertanian Kelantan dan kini sudah merekodkan empat kali tuaian hasil sayuran. 

Beliau berkata sistem hidroponik membolehkan tanaman seperti salad, bayam, kangkung, daun sup dan sawi hidup subur tanpa tanah walaupun di kawasan banjir kerana tanaman diletakkan di atas struktur tinggi yang mudah dialih.

“Peserta dilatih menggunakan sistem automatik Nutrient Film Technique (NFT), dengan air baja mengalir sepanjang masa untuk memastikan tanaman sentiasa sihat. 

"Setiap pusingan tuaian mengambil masa kira-kira empat minggu dan hasil jualan sayur segar memberi pulangan lumayan selain menampung kos operasi komuniti,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Setiap kali tuaian, antara 200 hingga 300 pokok salad dihasilkan dan sebahagiannya dijual kepada peniaga nasi ayam, burger dan pasar tani berhampiran.

Hasil keuntungan turut disalurkan ke dalam Tabung Komuniti SejaTi MADANI bagi membantu keluarga yang memerlukan, khususnya ketika musim banjir atau kecemasan.

"Kami tidak mengejar untung individu, sebaliknya mahu membina semangat komuniti dengan 30 peratus hasil jualan disumbangkan semula untuk faedah bersama,” katanya.

Melihat kejayaan fasa pertama, JPKKP Sri Kulim merancang menambah dua lagi rumah hijau untuk memperluas tanaman kepada sayur berbuah seperti terung mini dan tomato ceri. 

Badrul Hisham berkata projek ini bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi juga menyumbang kepada keterjaminan makanan tempatan dan membantu ekonomi setempat, sambil menjadi contoh bahawa pertanian moden boleh dijalankan walau di kawasan banjir dengan ilmu dan kesungguhan.

Suri rumah, Bariah Yaacob yang turut menyertai projek itu berkata sebelum ini beliau tidak menyangka boleh bercucuk tanam tanpa tanah dan kini memperoleh pendapatan sampingan hasil usaha bersama penduduk kampung.

"Dulu saya hanya menanam bunga di halaman rumah, tetapi apabila tahu tentang hidroponik, saya teruja kerana boleh tanam sayur, bersih tanpa racun dan hasilnya segar serta cepat dituai,” katanya. 

Aktiviti ini juga menjadi medan pertemuan baharu bagi penduduk yang kini lebih aktif berinteraksi dan bekerjasama menjaga tapak tanaman komuniti.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan