WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAPAN INDIVIDU TERKANDAS DI BUKIT LARUT

03/11/2025 09:00 AM

IPOH, 3 Nov (Bernama) -- Lapan individu terkandas di Pusat Peranginan Bukit Larut dekat Taiping semalam selepas tiga wanita mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti pendakian.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata dua mangsa mengalami kekejangan otot pada kaki manakala seorang lagi terseliuh dan lima individu lain iaitu tiga wanita serta dua lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taiping bergegas ke lokasi kejadian sejauh empat kilometer selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.53 petang.

"Setibanya di lokasi kejadian, tujuh mangsa berada di atas bukit dan seorang mangsa lelaki telah turun ke kaki bukit bagi mendapatkan bantuan.

"Ketua operasi mengaplikasikan konsep LAST seterusnya mengarahkan anggota bersama-sama pihak polis dan pengurusan Bukit Larut ke lokasi di atas bukit bagi melakukan kerja-kerja penyelamatan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Shazlean berkata pasukan penyelamat menemui semua mangsa di pertengahan jalan dari lokasi kumpulan itu dilaporkan berada setelah mereka dibantu oleh seorang individu (orang awam) yang bertindak sebagai penunjuk arah bagi menuruni bukit.

Beliau berkata wanita yang mengalami masalah kaki terseliuh telah diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat di lokasi sebelum kesemua mangsa dibawa turun serta diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, dan operasi tamat kira-kira tiga jam kemudian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan