WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KENYATAAN FITNAH: AGC FAIL RAYUAN TERHADAP PEMBEBASAN CHEGU BARD

04/11/2025 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang membebaskan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson Badrul Hisham Shaharin daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan notis rayuan terhadap keputusan di akhir kes pendakwaan itu difailkan setelah mempertimbangkan keputusan Mahkamah Sesyen pagi ini.

“AGC merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini yang telah melepaskan dan membebaskan tertuduh Badrul Hisham Shahrin atau dikenali sebagai Chegu Bard tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan dibaca bersama Seksyen 500 Akta 574.

“AGC telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan itu,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrul Hisham, 46.

Pada 29 April 2024, Badrul Hisham didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini pada 6 petang, 22 Jan 2024, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan