WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPERASI BESIPORT: JKDM WPKL GAGALKAN CUBAAN SELUDUP BESI DAN SKRAP BERNILAI RM7.9 JUTA

05/11/2025 12:09 PM

PETALING JAYA, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita 53 kontena berisi dagangan besi dan skrap aluminium bernilai RM7.9 juta, yang diimport tanpa lesen sah dalam operasi bersepadu di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Pengarahnya Wan Norizan Wan Daud berkata Operasi Besiport itu dilaksanakan dari 28 Ogos hingga 5 Sept lepas, dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan SIRIM Berhad (SIRIM) di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, Klang.

“Hasil pemeriksaan rapi di kawasan itu menemukan 35 kontena mengandungi besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan, manakala 18 kontena lagi mengandungi skrap aluminium dan besi.

“Kesemua kontena ini dimiliki oleh sebuah syarikat yang sama,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam WPKL, di sini, hari ini dengan turut dihadiri Pengarah CIDB WPKL Datuk Dr Gerald Sundaraj dan Pengurus Besar Kanan Sektor Pendaftaran dan Akreditasi Suhaimi Mansor.

Beliau berkata jumlah berat keseluruhan dagangan tersebut ialah 956,686 kilogram, dengan nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM7.93 juta, manakala anggaran duti import dan cukai terlibat berjumlah RM1,098,888.

Wan Norizan berkata pengimportan besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan memerlukan Sijil Perakuan (COA) daripada CIDB, manakala pengimportan skrap aluminium dan besi pula memerlukan kelulusan daripada SIRIM Berhad.

“Dalam kes ini, pihak terbabit dipercayai telah membuat ikrar yang tidak betul, bagi mengelak keperluan lesen import,” katanya sambil menambah bahawa tiada tangkapan dilakukan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, kerana mengimport atau mengeksport apa-apa barang tak berkastam atau larangan import.

Sementara itu, Suhaimi berkata pengimportan besi bagi tujuan industri yang tiada kelulusan CIDB memberi risiko dari segi kualiti dan keselamatan.

“Kualiti dibimbangi berada di bawah standard dibenarkan dan hal itu boleh membahayakan orang awam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan