WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENCEMARAN SUNGAI JOHOR : TUJUH LAPORAN POLIS DITERIMA SETAKAT INI

05/11/2025 12:11 PM

JOHOR BAHRU, 5 Nov (Bernama) -- Polis Johor setakat ini menerima tujuh laporan berkaitan insiden pencemaran Sungai Johor di Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata empat laporan terbaharu diterima semalam, melibatkan seorang pemilik lombong dan tiga penduduk kampung yang terjejas.

“Secara keseluruhannya, tujuh laporan polis telah diterima sejak 31 Okt lalu, termasuk satu daripada pihak Ranhill SAJ dan dua daripada penduduk sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Ab Rahaman berkata polis turut membantu siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Difahamkan syarikat air Johor (Ranhill SAJ) juga akan menjalankan siasatan. Kita pula akan terus memantau dan memastikan tiada insiden berlaku di luar jangkaan,” katanya.

Seramai 455,757 pemegang akaun, atau hampir 1.8 juta penduduk Johor, terjejas secara berperingkat akibat pencemaran yang berlaku pada Jumaat lepas.

Pencemaran berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah di kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi, menyebabkan operasi loji rawatan air terpaksa dihentikan sementara.

Setakat semalam, Ranhill SAJ memaklumkan bahawa peratusan pemulihan bekalan air di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai telah mencapai 93 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan