WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MUZIUM BUDAYA BORNEO ANGKAT NAMA SARAWAK DI PERINGKAT GLOBAL

05/11/2025 06:22 PM

KUCHING, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan pengiktirafan Muzium Budaya Borneo (BCM) yang kini tersenarai di tangga teratas laman Museum World Ranking

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri komited untuk menjadikan muzium sebagai daya tarikan utama kepada pelawat tempatan dan antarabangsa, yang membuktikan potensi besar sektor warisan dan budaya dalam menarik minat pengunjung. 

“Dengan reka bentuk moden serta pameran interaktif yang menampilkan kekayaan warisan etnik Borneo, muzium ini menjadi simbol kemajuan dan kebanggaan rakyat Sarawak.

“Selain itu, kami juga sedang menambah baik Muzium Sejarah Semula Jadi yang mempamerkan teori evolusi Darwin dan Wallace selain artifak serta biodiversiti di negeri ini bagi menarik pelawat dari seluruh dunia,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sebuah hotel baharu bertaraf tiga bintang di sini hari ini.

BCM berada di kedudukan teratas dalam carta undian menerusi laman Museum World Ranking, mengatasi muzium tersohor Louvre di Paris, Perancis.

Setakat pukul 9.30 pagi hari ini, BCM meraih 49,467 undian, manakala Louvre berada di tempat kedua dengan 4,059 undian, menurut kemas kini di laman museumworldranking.net.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan