KUALA TERENGGANU, 6 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya mengumpul kutipan zakat sebanyak RM205.85 juta sejak Januari hingga 5 Nov tahun ini.
Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata dalam tempoh sama, pihaknya juga berjaya mengagihkan RM262.52 juta zakat kepada golongan yang memerlukan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM187.18 juta atau 71.31 peratus diagihkan kepada golongan fakir dan miskin iaitu mereka yang paling memerlukan perhatian.
“Pecahan agihan zakat kepada golongan fakir dan miskin adalah RM22.85 juta atau 8.7 peratus kepada asnaf fakir dan RM164.34 juta atau 62.61 peratus kepada asnaf miskin,” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kali Kedua Bagi Tahun 2025 anjuran MAIDAM di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah kutipan dan agihan zakat itu bukan sahaja menggambarkan amanah yang telah ditunaikan pihaknya, malah menunjukkan keprihatinan umat Islam di negeri berkenaan serta rahmat Allah yang terus mengalir melalui institusi zakat seperti MAIDAM.
Shaikh Harun berkata jumlah agihan yang direkodkan juga menjadi bukti MAIDAM telah melaksanakan agihan zakat dengan penuh tanggungjawab dalam memastikan ia sampai kepada asnaf yang layak dan berhak.
“Sesungguhnya, di sebalik setiap agihan zakat melalui pelbagai skim sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, perubatan mahupun sosial, ia menyerlahkan lagi keindahan kasih sayang dan kepedulian ummah. Ini lah sumber kekuatan yang terus menghidupkan semangat membantu sesama insan dan memperkukuh institusi zakat di Terengganu.
“MAIDAM akan terus beriltizam memastikan setiap sen zakat diamanahkan disalur dengan penuh amanah, telus dan berkesan kepada mereka yang benar-benar berhak dan layak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata menyedari keperluan pendekatan yang lebih pantas dan efisien, MAIDAM kini telah memperkenalkan kaedah baharu potongan gaji zakat iaitu melalui Borang e-Potongan Gaji Zakat (ePGZ).
“Seiring dengan arus pendigitalan dan kemajuan teknologi masa kini, semua urusan berkaitan potongan gaji zakat termasuk permohonan baharu, penambahan atau pengurangan jumlah potongan dan penamatan potongan kini boleh dilaksanakan secara dalam talian melalui ePGZ,” katanya, sambil berharap pelaksanaan sistem ePGZ itu akan memberi kemudahan kepada pembayar zakat dan memperkukuhkan lagi pembangunan sosio ekonomi umat Islam di Terengganu.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kali Kedua Bagi Tahun 2025 pada hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan menyaksikan 34 syarikat menyerahkan zakat perniagaan masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM5.86 juta.
Majlis itu turut menyaksikan MAIDAM menyampaikan Anugerah Potongan Zakat Berjadual Tertinggi kepada empat agensi yang telah menunaikan zakat pendapatan kakitangan melalui potongan gaji berjadual dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM53.3 juta.
Ia diikuti dengan Universiti Malaysia Terengganu sebanyak RM1.29 juta, Universiti Sultan Zainal Abidin (RM1.06 juta) dan TM Technology Services Sdn Bhd (RM1.01 juta).
Pada majlis itu juga, syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menerima Anugerah Ejen Kutipan Zakat Tertinggi dengan jumlah kutipan sebanyak RM8.77 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial