WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN IBRAHIM TAMATKAN LAWATAN NEGARA EMPAT HARI DI ARAB SAUDI, BERLEPAS KE BAHRAIN

06/11/2025 08:08 PM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

RIYADH, 6 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Bahrain pada Khamis selepas mengakhiri lawatan negara selama empat hari di Arab Saudi.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh pada 2.23 petang waktu tempatan (7.23 malam waktu Malaysia).

Sebaik tiba di lapangan terbang, Sultan Ibrahim melintasi barisan kawalan kehormatan. Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengiringi Seri Paduka Baginda ke Bahrain.

Turut berangkat ke lapangan terbang untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Ibrahim ialah Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh Putera Mohammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz Al Saud dan Datuk Bandar Riyadh Putera Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf, serta Menteri Pelancongan Kerajaan Arab Saudi Ahmed Al Khateeb.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh Nik Ady Arman Nik Mohd Kamil.

Lawatan itu mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.

Semasa lawatan negara itu, Yang di-Pertuan Agong diberi sambutan negara di Istana Al-Yamamah.

Sultan Ibrahim turut berangkat melawat Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) dan ibu pejabat Arabian Oud di Riyadh.

Mengiringi Seri Paduka Baginda dalam lawatan ini ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj.

Arab Saudi ialah rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan