WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIASATAN KES "INSPEKTOR SHEILA" SUDAH LENGKAP - POLIS

07/11/2025 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Polis telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan wanita dikenali “Inspektor Sheila” yang disyaki memperlekeh anggota ketika melakukan pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga asing di Jalan Ipoh, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.

"Kita telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat DPP bagi cadangan pertuduhan," katanya kepada pemberita selepas Program Selawat Dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, dalam kejadian pada 9.30 malam itu, wanita berkenaan telah menuduh anggota bertugas tidak mengetahui undang-undang dan memperlekeh tindakan pihak polis selain mendakwa anggota berkenaan mengugut warga asing terbabit.

Susulan itu, anggota berkenaan telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina.

Terdahulu, tular video dimuat naik wanita itu di laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.

Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan