WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGERUSI BERNAMA LANCAR BUKU ‘TOUGH AS NAILS’ OLEH CHRISTINA SS OOI

08/11/2025 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai hari ini melancarkan buku baharu oleh pengarang dan peguam Dr Christina SS Ooi "Tough As Nails".

Memaparkan kisah ketabahan lapan individu, Wong berkata buku tersebut menonjolkan kekuatan penceritaan Ooi dan keupayaannya menggambarkan semangat manusia dalam perjuangan hidup.

Beliau berkata tajuk buku itu sendiri melambangkan ketahanan dan keberanian, mencerminkan kehidupan lapan individu berkenaan dan keazaman pengarang sepanjang perjalanan profesionalnya selama beberapa dekad.

"Tough As Nails mempamerkan kisah individu yang telah menghadapi cabaran paling sukar dalam hidup dan bangkit lebih kuat,” katanya pada majlis pelancaran buku berkenaan, di sini hari ini.

Mengimbas kembali persahabatan mereka sejak zaman mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wong melihat Ooi sebagai paling berpotensi besar untuk berjaya dan seorang penuntut ilmu sepanjang hayat. 

"Christina sememangnya seorang yang tekad, fokus dan rajin belajar. Dari UKM sehinggalah beliau memegang pelbagai peranan profesional di seluruh Asia Pasifik, beliau terus menongkah arus,"  katanya.

Wong berkata minat mendalam Ooi terhadap kepimpinan insaniah sudah terbukti dalam buku pertamanya yang diterbitkan 16 tahun lepas, yang membahaskan tentang inovasi dan kuasa manusia ke atas teknologi.

"Dengan buku baharu ini, Christina sekali lagi mengingatkan kita bahawa kekuatan bukanlah tiadanya pergelutan tetapi keberanian untuk mengatasinya,” katanya.

Sementara itu, Ooi berkata motivasi di sebalik projek buku itu datang daripada keinginannya untuk mewariskan pelajaran hidup yang bermakna kepada generasi akan datang.

Menurutnya empati dan hubungan manusia sangat penting dalam dunia yang semakin pantas dan tidak menentu.

"Saya cuma ingin berkongsi dengan generasi muda, dengan generasi akan datang, supaya mereka benar-benar belajar menghargai hubungan sesama manusia.

"Kita memerlukan orang di sekeliling kita dan kita harus membantu antara satu sama lain dalam masa sukar dan dalam masa tidak menentu seperti hari ini," katanya.

Tough As Nails menghimpunkan kisah benar lapan rakyat Malaysia yang telah mengharungi cabaran luar biasa dan memperoleh keberanian untuk bangun semula.

Ia menjelajah kuasa ketabahan melalui "3R" (Reset, Restart, and Re-Chart) iaitu Tetapkan Semula, Mulakan Semula dan Cartakan Semula yang memberi pembaca perspektif baharu untuk mengatasi kesusahan dan memulakan episod baharu. 

Naskhah ini menampilkan kisah Amber Chia, Julie Das, Karen Loh, Dr Parthiban Navoo, Priscilla Ong, Roger Hew, Venon Tian dan Dr William Tan, individu dari latar belakang berbeza yang telah menyumbang bakti kepada masyarakat.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan