KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Beberapa sektor strategik negara seperti semikonduktor akan mendapat perhatian yang lebih positif daripada Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan akan datang Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, masih terdapat rundingan yang perlu dibuat mengenai tarif sektoral, yang mana di bawah Seksyen 232, AS berpendapat perbincangan seterusnya perlu diadakan untuk beberapa sektor lain yang dianggap penting.
“Kita perlu melihat gambaran yang lebih meluas, khususnya 1,711 garis yang merangkumi lebih kurang 12 peratus jumlah eksport kita dalam nilai. Pada masa yang sama, ini boleh berkembang lagi kerana produk-produk ini kemudiannya akan dikecualikan daripada tarif 19 peratus.
“Kita telah menunjukkan bahawa dalam perjanjian tersebut, kita merupakan rakan kongsi rantaian bekalan mereka yang boleh diharapkan dan dipercayai. Terutamanya dalam sektor-sektor strategik mereka seperti semikonduktor, aeroangkasa, farmaseutikal dan sebagainya,” kata beliau melalui hantaran di laman ‘X’ hari ini.
Ini akan membantu mengukuhkan lagi ekosistem serta industri tempatan yang terlibat dalam rantaian bekalan ke negara itu memandangkan aspek jaminan rantaian bekalan adalah penting dalam isu keselamatan ekonomi semasa, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan sesetengah pihak yang berpandangan bahawa perjanjian pengecualian tarif Malaysia yang melibatkan kira-kira 1,700 barisan produk sebenarnya lebih menguntungkan pengimport AS berbanding Malaysia.
Pada 27 Okt, Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memeterai ART yang membolehkan sehingga 1,711 produk Malaysia termasuk minyak sawit, getah dan koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa dieksport ke AS pada kadar tarif yang lebih rendah daripada 19 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial