WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SERANGAN BERANI MATI DI LUAR MAHKAMAH ISLAMABAD RAGUT 12 NYAWA, 27 CEDERA: MENTERI

11/11/2025 08:26 PM

ISLAMABAD, 11 Nov (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 27 lagi cedera pada Selasa dalam serangan berani mati di luar kompleks mahkamah di ibu negara Pakistan, Islamabad, disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi.

Letupan itu berlaku di kawasan parkir Kompleks Kehakiman, lapor Anadolu Ajansi.

“Pengebom berani mati menyasarkan sebuah kenderaan polis selepas gagal memasuki kompleks itu,” kata Naqvi kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau menambah usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti penyerang tersebut.

Presiden Asif Zardari mengecam serangan itu sambil menegaskan bahawa pengganas yang “disokong pihak asing” dan beroperasi di Pakistan mesti dihapuskan.

Sumber keselamatan memberitahu Anadolu bahawa 12 mayat telah dibawa ke hospital tempatan, manakala mangsa yang lain dihantar untuk rawatan kecemasan.

Pasukan polis dan kecemasan telah menutup kawasan kejadian dan melancarkan siasatan.

Dalam kejadian berasingan, pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi terhadap tiga militan yang bersembunyi di dalam sebuah bangunan di Kolej Kadet Wana di barat laut Pakistan, menurut sumber keselamatan.

Menurut sumber, kira-kira 500 pelatih ditempatkan di asrama dalam kawasan kampus yang terletak jauh dari bangunan tempat militan itu bersembunyi di Waziristan Selatan.

Naqvi berkata tiga anggota keselamatan telah terbunuh setakat ini dalam operasi tersebut.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan