POLITIK > BERITA

40 PERATUS HASIL: PERCAYALAH PADA PERDANA MENTERI DAN KERAJAAN MADANI

11/11/2025 11:18 PM

KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Pemimpin Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil negeri, dan menggesa rakyat negeri itu meletakkan kepercayaan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan MADANI.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata keputusan itu, bukan sahaja menunjukkan penghormatan terhadap hak perlembagaan Sabah, malah menzahirkan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri.

“Saya menggesa rakyat Sabah untuk meletakkan keyakinan terhadap Perdana Menteri kita dan kerajaan Perpaduan ini, yang berulang kali menunjukkan usaha tulusnya untuk membantu membangunkan dan melindungi Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tahun 1974 hingga 2021.

Hari ini, dalam satu kenyataan, Pejabat Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkaitan Permberian Khas 40 peratus hasil untuk Sabah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan berkata keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri itu, menunjukkan bahawa Anwar memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.

Arthur berkata kemenangan kerajaan Malaysia di Mahkamah Antarabangsa bagi kes tuntutan Sabah oleh kumpulan Sulu, sebagai salah satu contoh komitmen tersebut, selain autonomi negeri yang lebih besar diberikan kepada Sabah untuk melaksanakan projek bernilai RM50 juta dan ke bawah.

Beliau berkata hubungan antara Persekutuan dan Negeri penting, serta menyeru kepada perpaduan sebagai satu persekutuan untuk memupuk keharmonian di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri itu, merupakan hak perlembagaan yang tidak boleh dirunding atau ditangguhkan.

“Keputusan ini menegaskan satu kebenaran undang-undang yang asas, hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bukanlah satu konsesi politik. Ia merupakan kewajipan perlembagaan yang telah lama tidak dipenuhi,” katanya.

Bung Moktar berkata peruntukan itu, merupakan komitmen perlembagaan yang mengikat dan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak penubuhan Malaysia pada 1963, sambil menambah bahawa kelemahan pentadbiran sejak 1974, telah menjejaskan prinsip persekutuan.

Beliau berkata sebarang rundingan mesti dijalankan secara telus, berasaskan data kewangan yang disahkan, dan bebas daripada sebarang manipulasi politik, serta memberi amaran bahawa Sabah tidak akan lagi menerima perbincangan yang tidak membawa hasil.

“BN Sabah akan meneliti setiap peringkat proses ini. Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan jelas dan tidak boleh dipisahkan, pulihkan hak Sabah tanpa sebarang kelewatan.

“Ini bukan gimik politik, tetapi tuntutan keadilan perlembagaan. BN Sabah tetap tegas, 40 peratus adalah hak Sabah,” katanya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustafa Sakmud yang mengalu-alukan keputusan bersejarah itu dan menyifatkan ia sebagai titik pemulihan keadilan fiskal yang dinantikan hampir 50 tahun oleh rakyat Sabah⁠.

“Keputusan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menghormati semangat dan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar di atas kertas, tetapi diterjemah dalam bentuk tindakan berani dan berprinsip⁠,” katanya.

Beliau turut menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memulakan rundingan dengan Kerajaan Sabah, bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pengagihan 40 peratus hasil tersebut dapat dijalankan secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang⁠.

Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe pula memuji keputusan Kabinet Persekutuan, dengan menyifatkannya sebagai cerminan keikhlasan dan rasa hormat Kerajaan MADANI terhadap hak perlembagaan dan sejarah Sabah.

Beliau berkata DAP Sabah sentiasa menyokong secara aktif tindakan undang-undang yang diambil oleh Persatuan Peguam Sabah, dan telah berusaha melalui saluran rasmi kerajaan selepas penubuhan Kerajaan MADANI pada akhir tahun 2022, untuk menangani perkara itu secara konstruktif.

“Usul parti yang menggesa Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan tersebut telah diterima oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan dibangkitkan melalui lima Menteri Persekutuan DAP dalam Kabinet.

“DAP Sabah sentiasa teguh dalam mempertahankan kepentingan rakyat Sabah. Kami akan terus memastikan Sabah menerima bahagian hasil yang adil selaras dengan Perlembagaan dan MA63,” katanya.

Beliau berkata parti itu akan terus memperjuangkan pelaksanaan penuh dan telus terhadap tuntutan hak 40 hasil peratus tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan