WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RIBUT MUSIM SEJUK LANDA GAZA, KHEMAH RAKYAT PALESTIN TERJEJAS

15/11/2025 12:26 PM

BANDARAYA GAZA, 15 Nov (Bernama-Anadolu) -- Khemah-khemah yang menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal di Gaza gagal menahan titisan hujan pertama musim sejuk, dengan sebahagiannya koyak dan musnah, menyebabkan keluarga terdedah tanpa sebarang perlindungan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam sekelip mata, kain lusuh yang berfungsi sebagai satu-satunya tempat perlindungan mereka bertukar menjadi lopak berlumpur yang memerangkap kaki kanak-kanak dan membasahi kepala ibu-ibu yang cuba sedaya upaya melindungi baki kelengkapan tempat tidur mereka.

Ketika hujan lebat, ribuan keluarga yang kehilangan tempat tinggal berhadapan dengan satu lagi kesukaran akibat ribut, sama seperti pergelutan mereka sebelum ini yang menahan kebuluran dan serangan Israel di Semenanjung Gaza selama dua tahun.

Tanpa sebarang infrastruktur untuk bergantung, pemandangan di kem-kem menunjukkan keluarga menyusun batu dan pasir bagi meninggikan alas tidur daripada tanah manakala yang lain mencari ruang kering untuk berlindung selepas hujan.

Awal pagi Jumaat, air hujan daripada ribut itu melanda ratusan khemah dan tempat perlindungan, memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah pun kritikal akibat dua tahun serangan Israel.

Keadaan ini berlaku ketika keluarga masih terkurung di ruang sempit di belakang kawasan dikenali sebagai “garisan kuning”, selepas Israel menghalang mereka daripada kembali ke rumah yang dimusnahkan semasa serangan.

“Garisan kuning” ialah garisan pengunduran pertama yang digariskan dalam fasa awal perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada 10 Okt.

Ia memisahkan kawasan yang masih berada di bawah kawalan tentera Israel di timur daripada kawasan di barat yang dibenarkan untuk pergerakan rakyat Palestin.

Tentera Israel lazimnya menyasarkan penduduk Palestin yang menghampiri, walaupun tanpa melintasi “garisan kuning” di kawasan yang dibenarkan untuk bergerak.

Keluarga yang kehilangan tempat tinggal berdepan keadaan yang amat dahsyat akibat kekuranga keperluan asas, kesukaran mendapatkan bekalan penting serta kekurangan serius perkhidmatan penting di bawah sekatan Israel yang berterusan.

Kebanyakan orang awam yang kehilangan tempat tinggal bergantung kepada khemah usang sebagai tempat perlindungan. Pejabat media kerajaan Gaza menganggarkan sekitar 93 peratus khemah penempatan tidak lagi sesuai didiami, iaitu kira-kira 125,000 khemah daripada 135,000.

Dalam keadaan yang amat sukar ini, Abu Alaa, seorang warga emas Palestin, berkata beliau tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas khemahnya dinaiki air, rumahnya di utara Gaza musnah manakala tentera Israel menghalangnya daripada kembali ke sana.

“Khemah dan kelengkapan tidur kami penuh dengan air hujan,” katanya kepada Anadolu, sambil menjelaskan bahawa beliau kini memerlukan khemah dan tempat perlindungan baharu kerana tidak mempunyai tempat lain untuk pergi.

Mohammed al-Jarousha turut berdepan nasib sama. Menghadapi masalah kewangan yang teruk, beliau berkata tidak mampu membeli plastik untuk menutup khemah kanvasnya yang cepat dipenuhi air ketika ribut.

“Kami perlukan penyelesaian. Kami melalui genosid dan kini satu lagi. Tiada siapa yang memberi perhatian walaupun keadaan tragis yang kami hadapi,” katanya.

Bagi Sabir Qawas, dengan anak perempuannya berusia dua tahun menghidap kanser, ribut itu mendatangkan lebih banyak kesukaran apabila khemah mereka runtuh akibat hujan.

Qawas berkata kepada Anadolu bahawa beliau kini tinggal di jalanan dan tidak mampu membeli khemah baharu, dan tiada mana-mana organisasi tampil menghulurkan bantuan.

Sepanjang hampir dua tahun serangan tentera rejim, puluhan ribu khemah telah rosak akibat serangan udara Israel atau musnah kerana faktor semula jadi termasuk angin kencang musim sejuk.

Israel telah membunuh lebih 69,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 170,000 yang lain dalam serangan di Semenanjung Gaza sejak Okt 2023.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan