WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DEAFLYMPICS 2025: ARAVINDAKUMARA HADIRKAN SENYUMAN BUAT KONTINJEN NEGARA

16/11/2025 03:50 PM

TOKYO, 16 Nov (Bernama) -- Sebaik Deaflympics Tokyo 2025 membuka tirai semalam, pemain badminton lelaki negara, R. Aravindakumara menceriakan kontinjen Malaysia selepas menjadi satu-satunya pemain perseorangan yang mencatatkan kemenangan pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan.

Dalam aksi Kumpulan G di Keio Arena Tokyo, hari ini, pemain berusia 18 tahun itu yang tewas pada set pertama berjaya bangkit menundukkan Anuntawip Sombun dari Thailand dengan keputusan 21-23, 21-12, 22-20.

“Memang sangat gembira sebab saya menjadi antara yang membuahkan kemenangan buat Malaysia hari ini. Namun masih ada perlawanan yang perlu saya teruskan untuk dapatkan pingat untuk negara,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pengalaman tumpas kepada Anuntawip di sebuah kejohanan sukan pekak di Brazil sebelum ini membolehkannya mempelajari corak permainan lawan dan ‘mengajarnya’ hari ini.

Aravindakumara akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan bertemu pemain Taiwan, Chung-I Chen buat pertama kali pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok.

“Saya memang sangat positif untuk perlawanan yang akan datang tapi kita juga tidak boleh ambil mudah kemampuan lawan. Yang pasti, saya akan berjuang habis-habisan untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, kebangkitan saat akhir pemain perseorangan lelaki tuan rumah, Yasuhiro Nagaishi menewaskan seorang lagi wakil negara Edmund Teo.

Edmund, 19, bermula cemerlang tetapi gagal memanfaatkan peluang keemasan meskipun mendahului sehingga mata ke-20 pada aksi set penentuan sebelum Yasuhiro mempamerkan ketenangan luar biasa untuk menoktahkan kemenangan 16-21, 21-16, 22-20 dalam pertarungan selama 58 minit.

“Betul, bulu tangkis agak perlahan, namun saya telah cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin dengan apa yang diberikan oleh penganjur,” katanya yang akan bertemu pemain Denmark, William Haurholm-Rasmussen pada perlawanan peringkat akhir Kumpulan N, esok.

Dalam kategori perseorangan wanita, Trisya Rafael tewas kepada pemain tuan rumah, Mai Kamata, 3-21 dan 3-21 pada pusingan pertama Kumpulan I, dengan aksi seterusnya akan bertemu wakil Turki, Gizem Nur Uludag.

Mengikut format pertandingan acara perseorangan dan beregu, kejohanan dibahagikan kepada tiga peringkat utama, peringkat awal, peringkat kalah mati dan peringkat kedudukan.

Pada peringkat awal, setiap pemain atau pasangan dibahagikan kepada kumpulan yang mengandungi tiga hingga empat peserta dengan setiap peserta akan bertemu semua lawan dalam kumpulan masing-masing sebanyak sekali.

Dua pemain atau pasangan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati dan hanya pemenang perlawanan akan melangkah ke pusingan seterusnya.

Akhir sekali pada peringkat kedudukan, pemain atau pasangan akan disenaraikan mengikut ranking rasmi badminton Jawatankuasa Antarabangsa Sukan Untuk Orang Pekak (ICSD). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan