WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: PERANG BENDERA MULA RANCAK

16/11/2025 06:00 PM

Oleh Lucia Terrey Anak John

KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Baru memasuki hari kedua kempen, namun bahang dan kemeriahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sudah dapat dirasai di bandar raya ini menerusi perang bendera antara parti politik bertanding.

Tinjauan Bernama di sekitar Parlimen Kota Kinabalu yang mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Luyang, Likas dan Api-Api mendapati bendera-bendera parti sudah banyak dipasang di lokasi strategik termasuk di bulatan dan jejantas, selain di sepanjang jalan utama.

Bendera parti terutama Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kini menghiasi pemandangan antaranya di sepanjang Jalan KK Bypass, Jalan Kemajuan dan Jalan Tun Fuad Stephens, menandakan persaingan bagi menawan hati pengundi.

Tidak ketinggalan, di Jalan Lintas menuju ke Inanam, bendera PH dan GRS turut berkibar megah manakala bendera Barisan Nasional (BN) pula memenuhi sepanjang jalan dari Lok Kawi, Putatan hingga ke Kota Kinabalu.

Pada PRN kali ini, calon-calon PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo PH.

Selain itu, poster dan sepanduk calon turut memenuhi persimpangan jalan serta premis-premis persendirian, ibarat menghulurkan 'senyuman' kepada pengundi dalam usaha mendekati dan memperkenalkan diri.

Petugas logistik PH bagi DUN Api-Api Hassim Sulaiman berkata pihaknya akan memasang 6,000 bendera dalam tempoh beberapa hari ini, sebelum terlibat dengan program pengedaran risalah di pasar-pasar tamu minggu depan.

“Pasukan kami yang terdiri daripada lima petugas mula melakukan pemasangan sejak 7 pagi tadi dan akan berlarutan hingga lewat malam ini.

“Tugas ini perlu diselesaikan secepat mungkin kerana minggu depan, kami mula bantu parti edar risalah kempen di pasar-pasar tamu,” katanya ketika ditemui di depan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini. 

SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala 25 Nov bagi pengundian awal. 

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 5 Okt lepas menyaksikan terdapat 1,784,843 pemilih terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan