KUCHING, 16 Nov (Bernama) -- Setiap individu Orang Kurang Upaya (OKU) berhak menikmati peluang pendidikan, latihan, pekerjaan, kesihatan dan keusahawanan seperti orang lain agar tiada sesiapa yang tertinggal daripada arus pembangunan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata dalam Belanjawan 2026, kerajaan MADANI memperuntukkan hampir RM1.4 bilion bagi bantuan OKU merangkumi bantuan penjagaan, elaun ketidakupayaan bekerja dan Elaun Pekerja OKU.
“Selain itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyediakan inisiatif pekerjaan melalui Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGP-OKU) bagi membantu OKU memulakan dan mengembangkan perniagaan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi turut menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar OKU di institusi pengajian tinggi. Ini menunjukkan pendekatan menyeluruh kerajaan, daripada pendidikan kepada pekerjaan, daripada bantuan asas kepada peluang berdikari,” katanya ketika merasmikan Seminar Disability Equality Training (DET) dan Perkhidmatan Job Coach di sini hari ini.
Nancy berkata menerusi Disability Equality Training, masyarakat diberikan pendedahan untuk memahami isu ketidakupayaan melalui perspektif Model Sosial yang menekankan bahawa cabaran sebenar bukan terletak pada individu OKU, tetapi pada sikap, struktur dan persekitaran yang tidak responsif.
“Sejak 2010 hingga 2024, seramai 7,426 peserta telah mengikuti DET. Sasaran peluasan program ini menunjukkan betapa pentingnya membina masyarakat yang lebih peka, inklusif dan bersedia merancang intervensi yang lebih berkesan.
“Program Perkhidmatan Job Coach pula menjadi jambatan penting bagi memastikan OKU dapat memasuki dunia pekerjaan dengan sokongan yang betul. Sehingga kini, 976 OKU telah dibimbing dan bekerja dengan 664 majikan di seluruh negara, satu pencapaian yang wajar dibanggakan,” katanya.
Beliau berkata di Sarawak sahaja, setakat Oktober, seramai 3,477 penerima mendapat manfaat Elaun Pekerja OKU (EPOKU) dengan peruntukan berjumlah RM15.28 juta.
“Elaun RM450 ini sangat membantu OKU berpendapatan rendah. Namun, kita dapati penggunaan perkhidmatan Job Coach masih rendah, antaranya kerana kurang pendedahan,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial