WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PDRM PERKUKUH TINDAKAN BERSAMA AGENSI ANTARABANGSA HAPUS KARTEL DADAH

16/11/2025 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan dalam meneliti setiap rangkaian kartel dadah antarabangsa yang telah dikenal pasti, sekali gus memperkukuh tindakan susulan secara berperingkat bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara bagi mematahkan keseluruhan operasi sindiket berkenaan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kewujudan kartel besar penyeludupan dadah ke Malaysia turut mengukuhkan tekad kerajaan dan PDRM dalam membanteras aktiviti jenayah terancang rentas sempadan itu.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman secara berterusan memantau jaringan pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan laluan laut dan kontena kargo sebagai modus operandi, termasuk kes rampasan 336 kilogram heroin oleh Australian Border Force (ABF) pada 13 Mac 2023, yang dipercayai transit melalui Pelabuhan Klang sebelum ke Australia.

“Susulan itu, PDRM dan Australian Federal Police (AFP) menjalankan siasatan bersama sebelum menubuhkan satu pasukan petugas bersama (Joint Task force) semasa Persidangan Agung Interpol di Glasgow pada 6 Nov 2024, dengan memberi tumpuan kepada sindiket yang beroperasi antara kedua-dua negara.

“Melalui kerjasama erat itu, beberapa operasi besar berjaya dilaksanakan, termasuk rampasan 33.2 tan syabu bernilai RM1.062 bilion di Pelabuhan Klang pada 25 Jan 2025 serta 45 kilogram syabu bernilai RM1.44 juta pada 7 Nov 2025, masing-masing melibatkan kontena dari Asia Tengah yang transit di Malaysia sebelum menuju Australia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Khalid, hasil kerjasama strategik itu membuktikan keupayaan PDRM memperkukuh perkongsian risikan antarabangsa bagi membanteras penyeludupan dadah berskala besar.

“Seiring pendirian tegas Perdana Menteri, PDRM menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan negara. 

“PDRM akan terus memperhebat risikan, operasi dan kerjasama di peringkat nasional serta antarabangsa bagi memastikan setiap bentuk ancaman dadah dapat dikekang secara berterusan,” katanya.

Media hari ini melaporkan Anwar semasa sesi sarapan dan sembang santai bersama media Sabah di Kota Kinabalu, mendedahkan wujudnya sebuah kartel besar menyeludup masuk dadah ke Malaysia yang didengarinya sejak 20 tahun lepas dan tiada tindakan diambil.

Anwar turut membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi bertanggungjawab, susulan ramai orang bercakap mengenai perkara itu sambil menegaskan beliau tidak bertolak ansur dan memaklumkan turut menemui ketua-ketua agensi setiap minggu selama satu jam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan