WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA ANTARA NEGARA DENGAN KADAR INTERNET TERMURAH - FAHMI

17/11/2025 11:03 AM

Daripada Rosmalis Anuar

BAKU (Azerbaijan), 17 Nov (Bernama) -- Malaysia mempunyai antara kadar Internet termurah bagi setiap gigabait sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan akses digital yang inklusif dan mampu milik untuk rakyat, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Malaysia juga berjaya melaksanakan rangkaian 5G pada kadar yang sangat pantas dan hasilnya, negara kini mempunyai rangkaian 5G terpantas di Asia Tenggara serta kedua terpantas di rantau Asia Pasifik selepas Korea Selatan.

"Kita adalah antara 10 negara yang kadar Internetnya bagi setiap gigabait berharga sekitar 2 sen.

"Sebelum ini, saya rasa kita jarang sekali menyaksikan situasi di mana syarikat-syarikat telekomunikasi duduk bersama dan mencapai satu bentuk konsensus," katanya ketika menghadiri Majlis Bersama Diaspora Malaysia di Rumah Malaysia di sini pada Ahad.

Menteri berkenaan berada di sini dari 16 hingga 19 Nov bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25).

Fahmi berkata penyertaan beliau pada persidangan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan kerusi Malaysia dalam Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030 susulan pengumuman pencalonan semula negara ke majlis tersebut pada Julai lepas.

Beliau turut memaklumkan diaspora Malaysia mengenai kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober lepas, serta menegaskan bahawa ia telah menonjolkan kekuatan diplomatik negara.

"Saya rasa kita telah berjaya mengubah persepsi masyarakat bukan sahaja terhadap Malaysia tetapi juga ASEAN. Sebagai sebuah rantau yang mempunyai 660 juta penduduk, ASEAN adalah satu setengah kali lebih besar daripada Kesatuan Eropah. 

"Kita juga mempunyai masa depan yang cerah sekiranya kita kekal bersatu, membina komuniti ASEAN serta memastikan keamanan dan kestabilan dalam rantau ini," katanya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan Ahmad Kamrizamil Mohd Riza.

Sementara itu, Ahmad Kamrizamil dalam ucapannya berkata penyertaan Fahmi pada WTDC-25 membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Azerbaijan.

"Persidangan itu bukan sahaja memberi peluang untuk mebincangkan isu-isu strategik tetapi juga memperluas kerjasama dalam bidang komunikasi, teknologi dan digital," katanya.

Kelvin Chong, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Azerbaijan selama 18 tahun, pula menzahirkan keterujaannya mengenai majlis itu dan berkata beliau tidak sabar menantikan peluang untuk bertemu dengan menteri berkenaan serta mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan terkini negara.

"Beliau berkongsi dengan kami banyak maklumat dan perkembangan terbaharu. Negara (Malaysia) semakin maju dan kami amat bangga serta gembira dengan perkara itu," kata cef berkenaan yang juga pengasas Culinary Arts Centre of Azerbaijan (CASA).

Chong juga berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan datang ke Azerbaijan untuk menikmati keindahan negara itu dan mengenali budayanya dengan lebih dekat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan