WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: GRS LANCAR MANIFESTO "RUMAH KITA, KITA JAGA"

17/11/2025 04:15 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berteraskan gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” dengan tema Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor, berkata gagasan itu dipacu menerusi empat rukun utama iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu.

Empat rukun berkenaan diterjemahkan melalui 16 strategi yang merangkumi pelbagai agenda pembangunan merentasi sektor ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat, termasuk tuntutan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“GRS bertekad menyempurnakan segala yang terkandung dalam manifesto ini selaras dengan dasar hala tuju Sabah Maju Jaya, yang menjadi tonggak kerajaan negeri.

“Ia bersifat holistik dan inklusif demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat,” katanya pada majlis pelancaran manifesto di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, menegaskan GRS bukan sahaja mampu mengekalkan kestabilan dan perpaduan, malah berupaya membawa perubahan dan kemajuan.

Menurutnya, parti gabungan itu telah membuktikan kemampuan dalam menyediakan asas kukuh ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sepanjang lima tahun menerajui kerajaan negeri.

“Sesungguhnya, perjuangan GRS adalah dari rakyat, untuk rakyat, menuju Sabah yang maju dan makmur, tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang menjunjung kedaulatan undang-undang negara.

“Dengan manifesto yang komprehensif, berlandaskan iltizam dan komitmen, saya yakin GRS akan mendapat sokongan padu rakyat untuk menguasai 55 kerusi DUN yang dipertandingkan,” katanya.

Pada PRN kali ini, GRS bertanding di 55 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 33 peratus daripadanya adalah muka baharu. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan