WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIASATAN INSIDEN AIR SUNGAI PERAK BERTUKAR BIRU MASIH DITERUSKAN - EXCO

17/11/2025 06:46 PM

IPOH, 17 Nov (Bernama) -- Siasatan berhubung insiden perubahan warna air Sungai Perak yang bertukar biru baru-baru ini masih diteruskan dan setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad untuk diumumkan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata aktiviti perlombongan di kawasan hulu Sungai Perak berhampiran Gerik, masih dihentikan sementara siasatan dijalankan, namun laporan awal yang diterima belum dapat mengesahkan punca sebenar kejadian tersebut.

Beliau berkata siasatan setakat ini mengesahkan wujudnya pelepasan bahan ke dalam sungai, namun sumber sebenar pelepasan itu masih belum dapat dipastikan.

“Air yang melimpah itu tidak dapat dikenal pasti asalnya dan pasukan teknikal sedang menjalankan analisis lanjut bagi menentukan punca.

“Buat masa ini, kerja-kerja mitigasi berjalan seperti biasa dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan sebaik siasatan selesai,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2025, di sini hari ini.

Teh berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan isu air di hulu Sungai Perak dekat Gerik yang bertukar kebiruan sebelum ini, didakwa akibat perlombongan di kawasan berhampiran.

Beliau berkata tempoh siasatan juga belum dapat ditetapkan, kerana pasukan teknikal memerlukan masa untuk menjejak aliran air, melakukan pengesanan serta melaksanakan kerja pemulihan di lapangan.

Sementara itu, Teh berkata insiden yang melibatkan kematian 17 ternakan lembu di Batu Gajah, laporan sampel bahan kimia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan bahan berwarna yang ditemukan di kawasan berkenaan merupakan sisa buangan industri.

“Bagaimanapun punca sebenar serta pihak yang bertanggungjawab membuang sisa tersebut masih belum dapat dikenal pasti.

“Kita tidak menolak kemungkinan sisa itu dibawa dari negeri lain, malah JAS sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti lokasi asal sisa dan pihak yang terlibat,” katanya.

Teh berkata kilang berkaitan mematuhi prosedur pelupusan yang ditetapkan, namun terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang membuang bahan berkenaan di kawasan terbuka.

“Apabila lembu di kawasan berkenaan terdedah kepada bahan itu dan termakan sisa tersebut, ia menyebabkan keracunan sehingga mengakibatkan kematian ternakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan