WILAYAH - SARAWAK > BERITA

10 USAHAWAN PKNS TEMPA KEJAYAAN, PRODUK TEMBUSI PASARAN CHINA

17/11/2025 07:24 PM

SHAH ALAM, 17 Nov (Bernama) – Seramai 10 usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah Program Pecutan Eksport (EAP), dengan kerjasama SME Corp Malaysia (SME Corp), mencipta kejayaan membanggakan apabila produk mereka berjaya menembusi pasaran China melalui penyertaan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025.

PKNS dalam satu kenyataan memaklumkan penyertaan usahawan tempatan dalam MIHAS Shanghai 2025 mencerminkan komitmen berterusan PKNS dan SME Corp dalam menyokong inisiatif kerajaan Selangor memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri melalui pendedahan antarabangsa serta peluang jaringan eksport global.

Penyertaan pada pameran perdagangan halal berprestij itu juga memberi peluang kepada usahawan tempatan, khususnya peserta Program EAP, untuk memperluas capaian pasaran ke rantau Asia Timur serta meningkatkan keboleh saingan di peringkat global.

“Kesemua usahawan yang terlibat diketengahkan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS bersama SME Corp di MIHAS Shanghai 2025, pameran perdagangan halal utama yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bermula 5 hingga 10 November lalu di National Exhibition and Convention Center (NECC), Shanghai, China.

“Program ini juga merupakan kesinambungan kejayaan MIHAS Dubai 2024 dan menjadi platform penting bagi memperkenalkan produk usahawan PKNS ke pasaran halal dunia, khususnya China yang mempunyai lebih 26 juta pengguna Muslim serta pasaran halal yang berkembang pesat,” menurut kenyataan itu.

Antara syarikat yang terlibat ialah Sumatraa Industries Sdn Bhd, Aducktive Food Sdn Bhd, BS Fitness Nutrition (M) Sdn Bhd, Monstr Confectionary Sdn Bhd, Doluvo Sdn Bhd, Nims Adeliciousz Sdn Bhd, Pisango Sdn Bhd, Faiza Marketing Sdn Bhd, KKMY Group Sdn Bhd dan Munif Hijjaz Marketing Sdn Bhd.

Sepanjang pameran, usahawan turut terlibat dalam sesi padanan perniagaan bersama lima pembeli antarabangsa, termasuk sesi pembentangan produk (product pitching) bagi mendapatkan potensi eksport dan pengedaran di pasaran China.

Hasilnya, MIHAS Shanghai 2025 merekodkan nilai potensi perniagaan sebanyak RM57.39 juta, meliputi RM45.64 juta daripada aktiviti sepanjang pameran dan RM11.74 juta melalui Sesi Padanan Perniagaan (BizMatch) yang dianjurkan khas oleh SME Corp dan PKNS untuk usahawan Program EAP pada 4 Nov lalu.

Menurut PKNS, MIHAS Shanghai 2025 diadakan bersempena China International Import Expo (CIIE) yang menghimpunkan lebih 2,500 pempamer dari 50 negara, dengan Pavilion Malaysia menjadi antara penyertaan terbesar melibatkan lebih 260 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, barangan pengguna cepat laris (FMCG), pertanian, kesihatan, perubatan dan kewangan Islam.

“PKNS yakin platform seperti MIHAS Shanghai akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan eksport halal negeri Selangor, sekali gus memperkukuh sumbangan usahawan tempatan terhadap ekonomi negeri dan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan