WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INFOMINA PEROLEH KONTRAK RM66.13 JUTA BAGI SEDIA PERKHIDMATAN KEPADA JPN

17/11/2025 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi, Infomina Bhd memperoleh kontrak bernilai RM66.13 juta bagi menyediakan perkhidmatan operasi, penyelenggaraan dan sokongan infrastruktur teknologi kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kumpulan itu berkata ia menandatangani surat setuju terima daripada Kementerian Dalam Negeri bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan menyeluruh untuk infrastruktur operasi sistem teras JPN dan pusat data hijau berdasarkan kontrak berasaskan prestasi.

Infomina dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perkhidmatan berkenaan merangkumi penyelenggaraan pencegahan, pembaikan penyelenggaraan, pembaharuan lesen perisian, operasi di lokasi, perkhidmatan teknikal dan sokongan, pusat pemulihan bencana selain kemudahan sokongan serta latihan berkaitan.

Kontrak selama 36 bulan yang bermula hari ini akan berakhir pada 16 Nov, 2028.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Infomina Yee Chee Meng berkata kontrak itu mengesahkan keupayaan kukuh syarikat dalam menguruskan infrastruktur dan sistem data yang kritikal bagi menyokong perkhidmatan awam.

"Seiring dengan kemajuan, kami akan terus melabur dalam inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan untuk memberikan kecekapan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi kepada pelanggan kami," katanya.

Dengan memperoleh kontrak terkini, nilai perolehan sedia ada tertunggak kumpulan kini kira-kira RM386 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan