WILAYAH - UTARA > BERITA

LRT PULAU PINANG PENTING DEMI MASA DEPAN PENGANGKUTAN NEGERI WALAU KOS TINGGI - ADUN

17/11/2025 08:42 PM

GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Rata-rata  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang hari ini mempertahankan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang disifatkan nadi baharu pengangkutan awam sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang meskipun berdepan peningkatan kos pembinaan.

Wong Yuee Harng (PH-Pengkalan Kota) berkata sistem pengangkutan awam berlandasan itu penting kerana bakal mengurangkan kesesakan dan menangani masalah lalu lintas yang semakin serius di negeri itu. 

Beliau berkata segala pembangunan dan pemajuan bermula dengan infrastruktur, dan lalu lintas yang lengkap membawa manfaat kepada penumpang serta pihak berkepentingan serantau walaupun kos pembinaannya menjadi lebih tinggi.

“Kita semua pun tahu betapa pentingnya sistem pengangkutan awam dalam membantu perkembangan ekonomi dan sistem infrastruktur sesebuah bandar raya, jadi jangan sesekali membantah projek LRT. 

“Saya bersyukur Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan kontraktor LRT bekerjasama dengan wakil rakyat serta komuniti di tapak pembinaan selain saluran komunikasi diwujudkan bagi pemakluman kerja yang mungkin menyebabkan kesulitan kepada penduduk setempat,” katanya ketika membahas Belanjawan Negeri 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Sementara itu, Joseph Ng Soon Siang (PH-Air Itam) menjelaskan aspirasi untuk memiliki sistem LRT di Pulau Pinang bukan usaha baharu, sebaliknya impian rakyat negeri ini sejak lebih 30 tahun lepas.

Beliau berkata keinginan untuk melaksanakan LRT bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan kelemahan pengangkutan awam, telah dibangkitkan sejak 1994 seperti yang tercatat dalam Hansard DUN bahawa Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri menjalankan kajian pelaksanaan cadangan tersebut. 

“Mengapa mempertikaikan pelaksanaan LRT Laluan Mutiara hingga membuat kenyataan bahawa penduduk Pulau Pinang tidak perlukan LRT. Saya ingin menyuarakan sokongan pada pelaksanaan LRT Mutiara yang telah dinanti-nantikan oleh penduduk Pulau Pinang sejak tiga dekad lamanya,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) berkata fokus LRT perlu memastikan pelaksanaannya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, menepati masa, bajet, serta tidak menjadi liabiliti kewangan kepada kerajaan negeri.

“Kami mengambil pendirian yang rasional bahawa projek utama Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) termasuk LRT Laluan Mutiara sudah diluluskan dan sedang berjalan, cuma kita tidak mahu LRT menjadi satu lagi projek gajah putih,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan negeri menjelaskan mengenai 236 lot yang dijangka terlibat dalam pengambilan tanah bagi projek LRT serta jumlah tenaga kerja asing dan tempatan dalam pembinaan projek LRT tersebut.

Pada 8 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Persekutuan melanjutkan jajaran projek LRT Pulau Pinang hingga ke Seberang Perai bagi memastikan pembangunan negeri itu seimbang dan dinikmati semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan bahawa kenaikan kos berpunca daripada keputusan menambah jajaran ke Seberang Perai selepas beliau sendiri meneliti cadangan asal yang hanya melibatkan kawasan di pulau tanpa menyambung laluan ke tanah besar.

LRT Laluan Mutiara yang melibatkan pembinaan laluan sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik, direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya serta menambah baik ketercapaian. 

Pelan jajaran utama merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di Georgetown dengan perkhidmatan tren dijadualkan bergerak secara bergilir di sepanjang laluan.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan