WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RSMIR 2025: HOLLYWOOD MAHU KEKAL KONSISTEN KUASAI KATEGORI KELAS 1

18/11/2025 05:27 PM

PULAU PINANG, 18 Nov (Bernama) -- Ketua pasukan Hollywood Samurai Raymond Roberts mahu mengekalkan konsistensi untuk menguasai kategori Kelas 1 pada Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025. 

Roberts yang baru sahaja memenangi perlumbaan pertama dari Pelabuhan Klang ke Pangkor berkata berada di puncak memerlukan usaha dan disiplin yang berterusan.

Beliau berkata konsistensi datang daripada komitmen latihan bersama kru, sambil memberitahu latihan kekal menjadi tulang belakang kejayaan mereka.

“Saya fikir satu daripada perkara yang paling penting ialah latihan. Seperti dalam mana-mana sukan, anda perlu berlatih bersama dan anda perlu membuat latihan bersama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, ketua pasukan berusia 52 tahun itu berharap pasukannya dapat mengekalkan prestasi dalam baki dua perlumbaan dan beliau bertekad memburu gelaran keempat pada regata berkenaan.

Perlumbaan selama sembilan hari dari 14 hingga 22 Nov itu membabitkan 23 pasukan dan akan diteruskan dengan perlumbaan Inshore di Pulau Pinang sebelum berakhir di Langkawi.

RMSIR, yang pertama kali dianjurkan pada 1990 adalah regata kedua tertua di Asia dan dicetuskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda masih bergelar Raja Muda Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan