WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JURUTEKNIK RUGI LEBIH RM600,000 DITIPU SINDIKET PELABURAN DALAM TALIAN

18/11/2025 06:38 PM

GEORGE TOWN, 18 Nov (Bernama) -- Polis mengesahkan seorang juruteknik sebuah syarikat swasta di sini kerugian lebih RM600,000 selepas terperdaya dengan penipuan sindiket pelaburan dalam talian pada September lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata mangsa seorang lelaki berusia 57 tahun tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Persi Utara (SPU) semalam.

Beliau berkata mangsa mendakwa telah melihat iklan pelaburan saham yang menawarkan keuntungan tinggi melalui aplikasi Facebook dan mula berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatApps sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp berkenaan.  

“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan 20 hingga 30 peratus dalam tempoh satu hingga lapan hari daripada jumlah modal yang dilaburkan. 

“Mangsa yang berminat untuk menyertai pelaburan itu diminta untuk muat turun satu aplikasi bagi tujuan pendaftaran keahlian dan membuat pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata mangsa membuat pembayaran pertama RM300 ke dalam akaun bank seorang individu  pada 5 Sept dan menerima kemasukan keuntungan berjumlah RM32,200 pada hari sama.

Beliau berkata mangsa kemudian menambah RM200,000 dan dimaklumkan oleh suspek keuntungan yang diperoleh kononnya berjumlah RM700,000.

“Mangsa ingin mengeluarkan keuntungan itu, namun suspek meminta membuat bayaran cukai serta caj proses pengeluaran wang.

“Sepanjang tempoh 5 Sept hingga 11 Nov 2025, mangsa telah melakukan 62 transaksi pemindahan wang ke dalam 36 akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM602,051.56,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan