WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA RAKAN ROMPAK WARGA EMAS DIPENJARA SEMBILAN TAHUN, TIGA SEBATAN

18/11/2025 06:12 PM

KUCHING, 18 Nov (Bernama) -- Dua rakan dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak sepasang warga emas menggunakan parang di Bau, Ogos lepas.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu selepas Akmal Najmuddin Jeperidin, 32, dan Horyezad Hosen, 24, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap pasangan berusia lingkungan 70-an di rumah milik mangsa di Pekan Taiton, Bau pada 2 petang 9 Ogos lepas mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan Akmal Najmuddin dan Horyeza menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu masing-masing pada 7 dan 12 Nov lepas.

Menurut fakta kes, empat lelaki bertopeng dengan seorang daripada mereka membawa sebilah parang telah mengikat mangsa, isterinya, anak lelaki mangsa dan cucu perempuan mereka menggunakan pita pelekat di bahagian pergelangan tangan serta mulut.

Mangsa kemudian diarah ke bilik tidur dan membuka peti besi namun dia enggan, menyebabkan seorang daripada lelaki bertopeng bertindak menendang pinggang serta melibas parang hingga terkena di  tapak tangan kiri mangsa. 

Kumpulan itu kemudian telah menjumpai kunci dan dapat membuka peti besi milik mangsa, serta mengambil kesemua wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000.

Turut disamun ialah dua utas rantai dan cincin emas milik anak lelaki serta cucu mangsa selain dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan