WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENJAWAT AWAM SABAH DIINGATKAN TUNAI TANGGUNGJAWAB MENGUNDI PADA PRN KE-17

18/11/2025 05:19 PM

KOTA KINABALU, 18 Nov (Bernama) -- Semua penjawat awam yang merupakan pemilih berdaftar di Sabah diingatkan supaya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 nanti.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab berkata sebagai penjawat awam, mereka memainkan peranan penting dalam menunjukkan teladan kepada masyarakat dengan keluar mengundi selain memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar, telus dan berintegriti.

"Sokongan terhadap pilihan raya dengan turun mengundi dan kelancaran urusannya bukan bermaksud berpihak kepada mana-mana parti politik sebaliknya menunjukkan komitmen kita terhadap sistem pentadbiran yang berlandaskan undang-undang serta prinsip demokrasi berparlimen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabаh di sini hari Ini.

Mohd Razali juga mengingatkan semua pegawai kerajaan supaya bersikap profesional dan bertanggungjawab serta memastikan segala urusan rasmi jabatan tidak dipengaruhi oleh sebarang elemen politik kepartian.

“Berpandukan kepada etika kerja berintegriti, tugas penjawat awam ialah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat berpandukan kepada prinsip to serve the government of the day,” katanya.

Beliau juga berharap semua penjawat awam akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan profesionalisme sepanjang tempoh PRN Sabah berlangsung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan