KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Penyedia rangkaian mudah alih (MNO) hanya mengemukakan output statistik yang telah diagregat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD), kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata data mentah pula kekal sepenuhnya di dalam sistem syarikat telekomunikasi.
“Contohnya, ‘jumlah langganan jalur lebar mudah alih di Parlimen Bangi atau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih’ dan bukan lokasi atau identiti mana-mana pengguna.
“Manakala, bagi sektor pelancongan pula, inisiatif MPD hanya digunakan untuk penghasilan statistik seperti jumlah pelawat dan bilangan perjalanan pelancongan domestik,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Teo menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berhubung pelaksanaan pengumpulan data telefon bimbit dan hak privasi pengguna.
Justeru, beliau menegaskan inisiatif MPD bukan satu sistem pengawasan dan tidak melibatkan sebarang pengumpulan atau pemindahan data mentah pengguna.
Teo berkata MPD juga tidak melibatkan sebarang Maklumat Pengenalan Peribadi (PII) dan tidak tergolong sebagai “data peribadi” di bawah Seksyen 4 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Beliau berkata pada peringkat awal pelaksanaan MPD, MNO diberikan dua pilihan menerusi Opsyen A iaitu memproses data di persekitaran selamat mereka sendiri dan menyerahkan hanya output statistik yang diagregat kepada MCMC.
Opsyen B iaitu bagi MNO yang tiada keupayaan pemprosesan dalaman, menyerahkan data yang telah dinyahidentiti kepada MCMC untuk diproses menjadi output statistik yang diagregat.
Teo berkata pada akhir suku pertama tahun ini, semua MNO telah beralih sepenuhnya kepada Opsyen A, justeru tiada lagi data yang telah dinyahidentiti dikumpulkan melalui inisiatif MPD.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial