KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- KL International Hospital Sdn Bhd (KLIH) yang dijadualkan dibuka pada separuh kedua 2026 sedang mengorak langkah untuk menjadi institusi penjagaan kesihatan pintar sepenuhnya yang pertama di Asia Tenggara di bawah KL Wellness City (KLWC).
Sehubungan dengan itu, KLIH hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bagi memacu rancangan hospital pintar KLWC.
Pengarah Urusan KLIH Datuk Dr Colin Lee berkata kerjasama itu tepat pada masanya ketika hospital bergerak ke arah penjagaan kesihatan digital sepenuhnya.
“Kolaborasi dengan Huawei Malaysia ini menandakan langkah penting dalam merealisasikan visi kami untuk menjadikan KLIH model bertaraf dunia dalam penjagaan kesihatan pintar dan kesejahteraan gaya hidup.
“Dengan mengintegrasikan kecanggihan teknologi digital, kami menetapkan standard baharu dalam pengalaman pesakit, kecekapan operasi dan penjagaan berasaskan data,” katanya dalam ucapan perasmiannya semasa majlis penandatangan MoU itu hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Lee dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun.
Sementara itu, Sun dalam ucapannya berkata gergasi teknologi itu berhasrat menyumbangkan kepakarannya dalam sektor penjagaan kesihatan di Malaysia.
“Huawei berbangga dapat bekerjasama dengan KLIH kerana peranan kami dalam teknologi penjagaan kesihatan bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan produk. Perniagaan bukan tentang membangunkan pakej teknologi, tetapi juga bagaiamana teknologi itu menambah baik perkhidmatan untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat,” katanya.
MoU itu juga merangkumi program latihan bersama dan perkongsian ilmu bagi memperkukuh kemahiran penjagaan kesihatan digital di KLWC secara keseluruhan.
KLIH akan menyediakan 624 katil yang boleh ditambah hingga 1,000, termasuk 25 bilik pembedahan, 76 katil unit rawatan rapi (ICU) dan 88 katil unit rawatan separa rapi (HDU).
Untuk kemudahan dan akses lebih baik, sebuah jambatan akan menghubungkan hospital dengan The Nobel Healthcare Park yang menempatkan suite perubatan, kesejahteraan, peruncitan, perniagaan dan pejabat yang patuh MSC.
Hospital itu dijangka menyokong sektor pelancongan perubatan Malaysia dan menggunakan sistem digital yang selaras dengan piawaian antarabangsa.
Di bawah kerjasama ini, Huawei Malaysia akan menyokong infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan awan, analitik berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar bagi meningkatkan operasi hospital serta rawatan pesakit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial