WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CKLAMOVSKI HARAP PRESTASI HARIMAU MALAYA BAWA SENYUMAN KEPADA PENYOKONG

19/11/2025 09:10 AM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Rentetan lima kemenangan bersih Malaysia dalam saingan Kumpulan F pusingan kelayakan Piala Asia 2027, diharap dapat meredakan seketika kemelut luar padang yang melanda arena bola sepak negara ketika ini.

Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Peter Cklamovski berkata kejayaan anak buahnya mengekalkan rekod tanpa kalah serta mengungguli carta kumpulan, merupakan sesuatu yang wajar diraikan para penyokong Harimau Malaya.

“Saya berbangga dengan mereka…komitmen yang telah mereka tunjukkan dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk memenangi perlawanan bola sepak antarabangsa. Kita telah lakukan semuanya tahun ini, tanpa kalah.

“Saya rasa ia sesuatu yang boleh diperkatakan, ditulis dan kemungkinan membawakan senyuman kepada kanak-kanak. Dan semoga kanak-kanak mahu bermain untuk Harimau Malaya dan bermain seperti pemain-pemain kita,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Nepal semalam.

Mengulas lanjut mengenai kemelut yang sedang melanda skuad kebangsaan, jurulatih dari Australia itu mengakui beliau turut terkesan, namun menegaskan fokusnya tetap terarah kepada tugasan sebagai ketua jurulatih.

“Ia sesuatu yang mengecewakan...ia di luar kawalan kita...kita tidak boleh lakukan apa-apa mengenainya. Jika saya fokuskan mengenainya, saya akan hilang fokus pada tugas saya dan saya tidak boleh lakukannya. Dan bagus jika rungutan atau situasi itu tidak di hadapan kami, tetapi itulah realitinya.

“Dan kini penting bagi kami untuk fokus terhadap apa yang kami perlu buat. Dan saya berharap rakyat berbangga dengan pemain-pemain dan bagaimana mereka bermain di dalam padang juga juga di luar. Itu apa yang boleh kita kawal,” katanya.

Kemenangan 1-0 ke atas Nepal semalam memastikan Malaysia mengekalkan rekod sempurna selepas lima perlawanan dan kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Semalam, Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan alasan bertulis setebal 63 muka surat di sebalik keputusan mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen.

FAM pada hari sama memaklumkan membuat keputusan untuk meneruskan proses rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan laporan terbaharu FIFA itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan