WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RINGGIT TINGGI CERMINKAN ASAS EKONOMI KUKUH, KEYAKINAN PELABUR MENINGKAT

19/11/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan keyakinan pelabur yang meningkat terhadap negara ini, kata profesor ekonomi di Sunway University Dr Yeah Kim Leng.

Beliau berkata mata wang tempatan telah kembali kepada paras yang lebih wajar selepas dinilai lebih rendah “untuk tempoh yang lama.”

“Ringgit mengukuh merupakan petunjuk yang amat positif untuk ekonomi, sebahagian besarnya kerana ringgit telah dinilai rendah untuk tempoh yang lama.

“Baru-baru ini, kita melihat ringgit kembali kepada paras yang kita namakan paras yang lebih wajar, yang amat positif dari segi mencerminkan dan mengukuhkan keyakinan pelabur.

“Apa yang penting, ia mencerminkan asas ekonomi yang kukuh, contohnya pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, lebihan akaun semasa yang lebih besar, rizab asing yang meningkat dan peningkatan pelaburan langsung asing,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Persekutuan Persatuan Ekonomi ASEAN Tahunan ke-48 di sini hari ini.

Mata wang tempatan mencecah paras 4.12, naik hampir kepada 4.1260/1300 pada 13 Nov 2025, menghampiri paras 4.1230 yang dicatatkan pada 27 Sept 2024.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ringgit pada amnya stabil berbanding dolar AS dengan sedikit penambahan nilai sebanyak 0.05 peratus pada suku ketiga 2025 dan meningkat 8.2 peratus sejak awal tahun hingga 12 Nov 2025.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata faktor luaran dan dalam negeri telah mendorong pergerakan ringgit.

Yeah, yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) berkata dari perspektif luaran, dolar AS telah mencatatkan penurunan berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi petunjuk bahawa penurunan kadar faedah sebelum akhir tahun, yang turut memberi manfaat kepada negara-negara ASEAN.

“Faktor lain yang akan menyebabkan dolar AS rendah ialah ekonomi AS yang lemah, sebahagiannya disebabkan inflasi yang tinggi serta peningkatan defisit fiskal dan paras hutang AS,” katanya.

Bagaimanapun, Yeah berharap ekonomi AS dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada tahap wajar yang akan membantu menstabilkan ekonomi global.

“Masih terdapat risiko besar di AS dan kami memantaunya dengan teliti pada suku keempat ini dan menjelang akhir tahun, dari segi dasar kerajaan AS yang dirangka oleh Presidennya, Donald Trump.

“Ketidaktentuan yang wujud daripada ketidakpastian dasar memberi impak yang menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan pasaran kewangan secara keseluruhannya.

“Saya fikir kita akan mempunyai petunjuk yang lebih jelas menjelang akhir tahun kerana kita kini berada pada pertengahan November dan selepas penutupan kerajaan AS telah diatasi, kita akan melihat petunjuk yang lebih jelas secara berperingkat bahawa ekonomi AS semakin stabil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan