WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JOHOR BANGUNKAN DUA LRA BERNILAI RM184 JUTA, PERKUKUH BEKALAN AIR TERAWAT

19/11/2025 03:09 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor sedang membangunkan dua loji rawatan air (LRA) baharu bernilai keseluruhan RM184 juta, bagi memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek berkenaan, melibatkan LRA Pakej Plant Semanggar bernilai RM70 juta dengan kapasiti 50 juta liter sehari (JLH) dan dijangka siap tahun hadapan untuk membekalkan air kepada kawasan Kulai dan Sedenak.

Beliau berkata bagi pembinaan LRA Layang 2 Fasa 2, projek bernilai RM114 juta dengan kapasiti 160 JLH itu dijangka siap pada 2027 dan akan membekalkan air ke kawasan Johor Bahru serta Iskandar Puteri.

“Terdapat juga dua projek LRA lain iaitu LRA Semanggar 3 dan LRA Kayu Ara Pasong, masing-masing bernilai RM750 juta dan RM537 juta yang sedang berada pada peringkat konsep reka bentuk dan reka bentuk terperinci, membabitkan kawasan Johor Bahru, Kulai dan Pontian dengan kapasiti 290 JLH,” katanya. 

Mohamad Fazli menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup), mengenai status projek LRA baharu serta jaminan bekalan air bersih sehingga 2030 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Mohamad Fazli berkata, bagi LRA Kayu Ara Pasong, kapasiti asal dicadangkan Ranhill SAJ ialah 30 JLH, namun disebabkan pembinaan Projek Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Pontian Besar berkapasiti 90 JLH, kerajaan negeri mencadangkan kapasiti LRA ditingkatkan kepada 90 JLH.

“Pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mencadangkan LRA ini dibina dahulu dengan kapasiti 30 JLH pada kos RM191 juta, manakala baki 60 JLH dilaksanakan pada Fasa 2. Keseluruhan projek ini dijangka memberi manfaat kepada 46,119 akaun pengguna di Daerah Pontian,” katanya.

Beliau berkata penggunaan air terawat di Johor dijangka terus meningkat, dipacu pertumbuhan industri, pertambahan populasi serta projek strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan pusat data.

Mohamad Fazli berkata Johor kini mempunyai 48 LRA dengan kapasiti reka bentuk keseluruhan 2,352 JLH, manakala purata pengeluaran tahun 2025 ialah 2,037 JLH dengan unjuran menunjukkan permintaan air meningkat kepada 2,700 JLH pada 2030, seterusnya 3,000 JLH pada 2035, dan 3,300 JLH pada 2040.

Selain pembangunan LRA baharu, projek pengezonan semula bernilai RM1.02 bilion turut dilaksanakan, bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air terawat di Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai.

Projek berkenaan akan merangkumi empat pakej utama termasuk naik taraf sistem agihan di Pasir Gudang, Kempas Banjaran, Impian Emas, Johor Jaya dan Sutera Utama serta pemasangan paip baharu dari LRA Semangar ke Bukit Kulai Reservoir dan dari Masai ke U4.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan