KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pembangunan Pelan Tindakan Focus Group (FG) Penguatkuasaan merupakan panduan strategik untuk memperkukuh usaha penambahbaikan integriti dan keberkesanan penguatkuasaan dalam meningkatkan kedudukan serta skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Asliza Ali berkata pelan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah itu juga menghimpunkan strategi, inisiatif dan tindakan utama dengan tumpuan kepada pengukuhan integriti, ketelusan, akauntabiliti serta pemantapan kecekapan operasi penguatkuasaan.
Beliau berkata pelan itu melibatkan lima teras iaitu pengukuhan integriti penguatkuasaan; ketelusan dan akauntabiliti; pelaporan dan perlindungan pelapor; kolaborasi antara agensi serta pemantauan prestasi, komunikasi dan pendidikan awam.
“Melalui pelaksanaan pelan ini, FG Penguatkuasaan mampu membawa perubahan positif dalam ekosistem penguatkuasaan bukan sahaja untuk memperbaiki persepsi terhadap isu rasuah, malah memastikan ia dilaksanakan dengan integriti, profesionalisme dan bertanggungjawab,” katanya di sini hari ini.
Asliza berkata demikian semasa menjadi tetamu program Bernama Radio bertajuk “Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan Reformasi Penguatkuasaan: Apa Yang Anda Perlu Tahu” bersama Penasihat Fokus Group Penguatkuasaan Datuk Dr Mazlan Ahmad.
Mengulas lanjut, Asliza berkata pelan tindakan itu merangkumi tindakan jangka pendek dan panjang serta menyediakan indikator prestasi yang jelas bagi memastikan pemantauan dan audit dapat dilakukan dengan telus, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat serta memperbaiki persepsi antarabangsa terhadap integriti negara.
Beliau berkata EAIC komited untuk memastikan pelan tindakan itu bukan dokumen semata-mata, sebaliknya diterjemahkan pada peringkat pelaksanaan melalui libat urus langsung dengan agensi, penetapan sasaran yang jelas serta sesi audit dan pemantauan berkala.
Sementara itu, Mazlan berkata pengukuhan integriti dalam kalangan anggota penguat kuasa merupakan kunci untuk Malaysia meningkatkan kedudukan dalam CPI.
“Apa yang penting ialah mereka yang melaksanakan amanah ini perlu dibangunkan dengan budaya integriti kerana ia merupakan tonggak kejayaan.
“Kita boleh mencapai kedudukan ke-25 lebih awal dari sasaran 2033 kalau kita boleh membudayakan integriti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial