WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PULAU PINANG CATAT SIFAR MISKIN TEGAR SEJAK SEPT 2025 - EXCO

19/11/2025 06:26 PM

GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang mencatatkan angka sifar bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar sejak September selepas menunjukkan penurunan yang konsisten bermula Feb 2025 berdasarkan rekod terkini Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata angka sifar berkenaan adalah hasil daripada proses pemutihan data lapangan dan pihak ICU hanya memaparkan kes yang berdaftar dalam Sistem eKasih selepas pembersihan.

“Angka sifar tidak semestinya bermaksud tiada orang susah, ia mungkin bermaksud tiada rekod berdaftar seseorang itu disahkan sebagai miskin tegar pada tarikh laporan.

“Data miskin tegar yang diterima oleh kerajaan negeri adalah daripada ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 (Belanjawan Negeri 2026) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata pihak ICU telah turun padang untuk menjalankan bancian dan membuat proses pemutihan sebelum mengesahkan senarai miskin tegar.

Lim berkata kriteria miskin tegar ditetapkan bagi pendapatan per kapita isi rumah kurang daripada RM315 sementara kerajaan negeri menerusi Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) telah meningkatkan kadar per kapita isi rumah kepada RM322.

“Setelah sesebuah keluarga dikenal pasti dan disahkan sebagai miskin tegar melalui proses penilaian pendapatan dan verifikasi data oleh agensi berkaitan, satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan melibatkan semua jabatan dan agensi terlibat.

“Mesyuarat ini bertujuan mengenal pasti bentuk intervensi serta bantuan yang boleh disalurkan oleh setiap agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Urus Zakat Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Pejabat Daerah dan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Beliau berkata ICU berperanan sebagai penyelaras utama dalam memastikan setiap tindakan susulan dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan