WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT SEDIA PERUNTUKAN RM60 JUTA BAIK PULIH, BINA RUMAH PADA 2026

19/11/2025 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperuntukkan RM60 juta pada 2026 bagi tujuan pembaikan dan pembinaan rumah untuk keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM45.06 juta untuk baik pulih rumah manakala RM14.94 juta bagi pembinaan rumah baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pengumuman itu dibuat semasa Majlis Makan Malam Amal Ulang Tahun ke-20 Yayasan Mah Sing baru-baru ini sambil menekankan komitmen Kerajaan MADANI terhadap golongan memerlukan.

Menurut Nga, kementeriannya juga akan memperuntukkan RM12 juta bagi program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) yang bertujuan memperkasakan isi rumah bandar yang kurang berkemampuan melalui latihan kemahiran, literasi kewangan dan sokongan keusahawanan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Mah Sing.

“Saya gembira dengan fokus yayasan terhadap komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti PPR Seri Semarak, iaitu inisiatif berkaitan kesihatan mental, literasi, pemerkasaan belia dan keusahawanan membantu membina keluarga yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata program pemerkasaan itu selaras dengan visi holistik KPKT yang menekankan bukan sahaja kualiti perumahan tetapi juga penambahbaikan dalam aspek kesihatan, keselamatan, pendidikan dan perpaduan sosial.

Nga juga menekankan kejayaan Skim Jaminan Kredit Perumatan (SJKP) yang menyediakan jaminan pinjaman bagi pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai dokumen pendapatan tetap.

“Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 95,460 pembeli rumah telah menikmati manfaat pinjaman dijamin berjumlah RM22.7 bilion,” katanya.

Seiring pentadbiran Kerajaan MADANI, Nga mengeaskan KPKT akan terus mengukuhkan prinsip 4P iaitu People, Public, Private, Partnership untuk memperbaiki kualiti perumahan serta kesejahteraan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan