KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Prestasi pelaburan negara yang kukuh menunjukkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi dan kejelasan dasar Malaysia, kata Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).
Presidennya, Datuk Seri N. Gobalakrishnan berkata kenaikan sebanyak 13.2 peratus dalam pelaburan yang diluluskan yang dicatatkan antara Januari dan September 2025 merupakan petunjuk jelas bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi yang kompetitif dan menarik bagi pelabur tempatan dan asing.
“Kami memuji langkah proaktif yang diambil oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan kerajaan untuk memperkemaskan kelulusan, mengukuhkan tadbir urus dan meningkatkan ekosistem pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa aliran masuk pelaburan yang kukuh merentasi sektor utama, termasuk pembuatan, perkhidmatan dan industri baru muncul bernilai tinggi, akan menyokong daya tahan ekonomi jangka panjang.
Pada masa sama, Gobalakrishnan menekankan bahawa komuniti perniagaan mendapat galakan susulan komitmen kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang berdisiplin dan pembaharuan struktur, yang telah meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong kestabilan makroekonomi.
“Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan baharu terhadap asas ekonomi Malaysia.
“Sementara usaha kerajaan dalam menambah baik tadbir urus, merasionalisasikan perbelanjaan dan melaksanakan pembaharuan mesra pelaburan jelas membuahkan hasil,” tambahnya.
Beliau berkata kejayaan Malaysia keluar daripada defisit akaun perkhidmatan buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun merupakan satu pencapaian penting kepada negara.
“Kejayaan keluar daripada defisit akaun perkhidmatan sejak sekian lama menunjukkan bahawa ekonomi kita menjadi lebih berdaya saing dan berada pada kedudukan yang lebih baik dalam rantaian nilai global.
“Peralihan dan pembangunan ini menyokong perniagaan tempatan, meningkatkan keupayaan eksport, dan menandakan bahawa kedinamikan yang semakin meningkat dalam industri bernilai tinggi, termasuk perkhidmatan digital, logistik dan sektor profesional,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial