WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA, TURKIYE BERPOTENSI PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PERTAHANAN

19/11/2025 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye mempunyai potensi besar memperkukuh kerjasama strategik menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bersama dan penglibatan industri tempatan bagi memantapkan keupayaan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyuarakan keyakinan itu selepas menerima kunjungan syarikat teknologi pertahanan terkemuka Turkiye yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden ASELSAN Ahmet Akyol serta Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yüksel.

“Dalam pertemuan ini, saya menegaskan keperluan Malaysia bergerak melangkaui model perolehan tradisional dan menambah baik strategi perolehan ke arah kerjasama jangka panjang yang membina rantaian bekalan nasional, mengukuhkan kolaborasi industri tempatan dan membuka peluang pasaran lebih luas,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Mohamed Khaled dan Menteri Pertahanan Nasional Turkiye, Yasar Guler telah mengadakan pertemuan empat mata sempena Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 di Istanbul, Julai lepas.

Pertemuan itu memberikan fokus pada perbincangan mengenai kerjasama dalam bidang ketenteraan dan pertahanan yang perlu dilaksanakan kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan