WILAYAH - TENGAH > BERITA

MALAYSIA PERKUKUH KEPIMPINAN DALAM KERJASAMA IKLIM ASEAN DI CPO30

20/11/2025 10:34 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Malaysia memperkukuh kepimpinan dalam memajukan kerjasama iklim serantau ASEAN pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30) di Belem, Brazil. 

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan keutamaan negara ialah mewujudkan penyelarasan pasaran karbon, memperkukuh penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan melindungi ekosistem rentas sempadan. 

NRES memaklumkan menerusi momentum yang dibina pada Kepengerusian ASEAN 2025, usaha Malaysia pada COP30 penting bagi memastikan kerjasama serantau dapat menterjemahkan cita-cita iklim kepada hasil yang boleh diukur bagi Asia Tenggara. 

Pembukaan Pavilion Malaysia pada minggu pertama COP30 juga kukuh antaranya menerusi dialog berkaitan pemulihan ekosistem, pembiayaan ketahanan iklim dan perkongsian awam-swasta yang menghubungkan keutamaan nasional dengan objektif serantau yang lebih luas. 

“Penglibatan ini menunjukkan peranan Malaysia semakin berkembang dalam menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, dengan Pavilion itu menjadi platform membentuk hala tuju iklim kolektif ASEAN,” menurut kenyataan tersebut. 

Pada minggu kedua COP30, tumpuan Malaysia beralih kepada pelaksanaan, mencerminkan peralihan yang adil, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pembiayaan lestari sebagai pemacu utama dalam tindakan iklim serantau. 

Pavilion Malaysia dengan tema “Climate Action Now: Net Zero Pathways Unlocked” juga terus menghimpunkan pihak kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan masyarakat awam serta belia, menyediakan ruang pertukaran pengetahuan dan perancangan kerjasama. 

Sasaran iklim terkini Malaysia selaras dengan Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS), Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang mengukuhkan komitmen negara untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.

Pada minggu ini, Pavilion Malaysia akan menganjurkan sesi jaringan profesional, pembentangan projek dan perbincangan santai melibatkan agensi kerajaan, rakan sektor swasta dan organisasi antarabangsa dengan pelaksanaan sebagai fokus utama. 

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii menerusi kenyataan sama berkata tema itu mencerminkan inisiatif berterusan Malaysia seperti pengembangan tenaga boleh diperbaharui, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pembangunan bandar mampan.

Beliau berkata usaha itu menunjukkan komitmen negara dalam menyediakan impak kelestarian yang kekal kepada rakyat dan alam. 

Beliau berkata pendekatan Malaysia pada COP30 kekal konsisten dalam menerapkan kemampanan merentasi pembangunan negara melalui kerjasama, perkongsian pengetahuan dan pemerkasaan komuniti.

COP30 berlangsung dari 10 hingga 21 Nov. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan