WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANK MUAMALAT RAIH DUA PENGIKTIRAFAN BERPRESTIJ DI ANUGERAH PERBANKAN RUNCIT ISLAM 2025

20/11/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd meraih Anugerah Kecemerlangan IRBA untuk Perbankan Runcit Islam di Malaysia 2025 dan Bank Runcit Islam Terbaik untuk Inisiatif Kewangan Sosial di Malaysia 2025 dalam majlis Anugerah Perbankan Runcit Islam (IRBA) 2025 di Karachi, Pakistan.

Bank Muamalat menerusi kenyataan hari ini berkata pengiktirafan berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi perbankan Islam penuh yang dipercayai dan inovatif dalam memperkasakan pertumbuhan inklusif serta pembangunan komuniti.

“Pencapaian Bank Muamalat dalam segmen perbankan runcit mencerminkan tumpuan bank dalam mempertingkat pengalaman pelanggan, memperluas akses digital dan memperkukuh inklusiviti kewangan.

“Selaras dengan visi bank untuk mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama,’ strategi runcit bank terus menawarkan penyelesaian patuh Syariah yang berorientasikan pelanggan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Pengiktirafan dalam bidang kewangan sosial turut menonjolkan komitmen Bank Muamalat terhadap usaha memperkasakan komuniti melalui inisiatif seperti iTEKAD, Wakaf Muamalat dan Jariah Fund.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata pengiktirafan ini mencerminkan komitmen bank ini terhadap kecemerlangan dan inovasi dalam perbankan Islam runcit.

“Kami berbesar hati atas pengiktirafan terhadap usaha kami dalam bidang kewangan sosial yang memperkukuh keyakinan bahawa perbankan Islam bukan sahaja perlu memacu pertumbuhan, tetapi turut mewujudkan impak bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Kini memasuki tahun ke-11 penganjurannya, IRBA yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perbankan Runcit Islam merupakan platform global yang meraikan kecemerlangan institusi kewangan Islam di rantau Majlis Kerjasama Teluk, Asia, Afrika dan wilayah lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan