WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TADBIR URUS PERSATUAN LEMAH, KAFA DIMINTA ADAKAN SEMULA KONGRES

20/11/2025 06:34 PM

KOTA BHARU, 20 Nov (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diminta segera mengadakan semula kongres tahunan bagi menyelesaikan isu penggantungan persatuan itu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), susulan kelemahan tadbir urus yang menjejaskan bola sepak negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan negeri Zamakhshari Muhamad berkata penggantungan KAFA disebabkan pertikaian status kehadiran beberapa ahli gabungan yang tidak diiktiraf oleh persatuan itu sendiri.

“Berdasarkan maklumat yang saya ada, FAM telah mengarahkan KAFA mengadakan semula kongres tahunan, namun sehingga kini tarikh baharu belum ditetapkan. 

“Isu ini harus diselesaikan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan supaya pembangunan bola sepak negeri tidak terjejas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Zamakhshari menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan KAFA, Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan FAM bagi mencari penyelesaian, namun secara undang-undang kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa campur tangan kerana KAFA adalah badan berdaftar di bawah PJS dan gabungan FAM.

“Isu ini penting kerana peraturan PJS tidak membenarkan penubuhan persatuan bola sepak kedua selagi KAFA masih wujud. Hanya jika pendaftaran KAFA dibatalkan barulah persatuan baharu dibenarkan,” katanya.

Pada Disember tahun lepas, FAM menggantung keahlian KAFA kerana kesalahan tatacara pengendalian kongres, selaras dengan Artikel 17 Statut FAM yang membolehkan jawatankuasa eksekutif FAM menggantung keahlian mana-mana ahli akibat pengurusan kongres yang tidak teratur atau melanggar prosedur.

Beliau menambah kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM2.3 juta setahun untuk pembangunan bola sepak, termasuk penganjuran Liga Elit Dewan Undangan Negeri (LED), Piala Menteri Besar, pembangunan padang dan sumbangan kepada kelab persendirian yang diiktiraf. 

“LED menjadi platform anak muda menunjukkan bakat kepada pencari bakat kelab profesional Liga Malaysia.

“Kos menyediakan pasukan kompetitif Liga-M sangat tinggi, sekurang-kurangnya RM12 juta setahun. 

“Sokongan semua pihak penting untuk memastikan bola sepak Kelantan kembali gemilang dan KAFA perlu segera menyelesaikan isu ini untuk pembangunan masa depan sukan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan