WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR RAI PELABUR, PIHAK BERKEPENTINGAN UTAMA DI SIAA 2023-2024

20/11/2025 11:40 PM

‎SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Selangor hari ini memberi penghargaan kepada pelabur domestik dan asing, bersama-sama dengan pihak berkepentingan utamanya atas sumbangan mereka kepada prestasi ekonomi negeri yang mantap menerusii Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor (SIAA) 2023-2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris berkata negeri ini telah mengharungi pelbagai cabaran ekonomi global, termasuk kesan pasca pandemik COVID-19, ketegangan geopolitik yang berterusan, ketidakpastian perdagangan dan tekanan inflasi global yang berterusan.

Beliau berkata walaupun dengan kesukaran ini, Selangor telah menunjukkan daya tahan dan kebolehsuaian luar biasa, terus menarik pelaburan berkualiti, mengekalkan pertumbuhan perindustrian dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama kemakmuran ekonomi Malaysia.

‎"Dengan sokongan dan keyakinan yang kukuh daripada anda, Selangor terus mencatatkan kemajuan luar biasa dalam pertumbuhan pelaburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada 2023, negeri ini mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM55.3 bilion meskipun terdapat cabaran dan ketidakpastian ekonomi global. ‎

‎"Momentum kukuh ini berterusan pada 2024 apabila Selangor mencapai pencapaian luar biasa dengan menjadi destinasi pelaburan utama di negara ini dan negeri pertama melepasi paras pelaburan diluluskan sebanyak RM100 bilion, mencatatkan sejumlah RM101.1 bilion, hampir naik dua kali ganda prestasi tahun sebelumnya," kata Hassan Azhari dalam ucapannya di sini, hari ini.

‎Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han dan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Inovasi Kebudayaan Selangor Mohammad Fahmi Ngah.

‎Hasan Azhari berkata prestasi pelaburan Selangor yang signifikan mengukuhkan lagi daya tarikannya kepada pelabur domestik dan asing, mewujudkan peluang pekerjaan, memacu pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh industri utama.

Beliau berkata bahawa selain terus menyokong dan memudahkan keperluan industri dalam persekitaran cabaran ekonomi yang sentiasa berubah pada masa kini, Invest Selangor juga sedang meningkatkan usaha promosi pelaburannya dengan menerima pakai pendekatan lebih bersasar dan strategik untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Usaha berkenaan merangkumi program seperti Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), Sidang Kemuncak Penerbangan Selangor (SAS), Program Soft Landing Selangor, Program Perkongsian Makmal Selangor dan Program Jangkauan Kerjaya Selangor (SCOUT).

"Melangkah ke depan, negeri ini akan terus berusaha dengan gigih untuk memastikan ekonomi kita kekal kukuh, dinamik dan makmur. Dengan pembangunan Rancangan Selangor Kedua atau RS-2 yang sedang dijalankan, kami komited untuk memajukan agenda pertumbuhan mampan negeri dan memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjangnya.

"Saya benar-benar percaya bahawa anda semua telah membuat keputusan tepat dalam memilih Selangor sebagai pusat keuntungan serantau anda. Dengan tawaran perniagaan menarik dan ekosistem pelaburan yang menarik, Selangor berdiri sebagai destinasi ideal untuk perniagaan dan pelabur.

“Bersama-sama, kita dapat terus membina masa depan yang lebih kukuh dan berdaya tahan," katanya.

Sementara itu, SIAA menampilkan beberapa kategori anugerah, iaitu Anugerah Pelaburan Tertinggi untuk Syarikat Asing dan Tempatan; Anugerah Lokasi Pelaburan Pilihan Utama di Selangor; Anugerah Pencapaian Khas untuk Taman Perindustrian Terurus (MIP) di Selangor; Anugerah Pencapaian Khas untuk Program Soft Landing Selangor; dan Anugerah Pengiktirafan Khas untuk Agensi Kerajaan dan Teknikal di Selangor.

Antara penerima hari ini ialah penggiat industri utama yang mewakili sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi tinggi seperti Petronas Research Sdn Bhd, Gamuda Land Leisure Sdn Bhd, Texas Instrument Malaysia Sdn Bhd, Maruss Sdn Bhd dan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd serta pihak berkuasa tempatan.

Acara itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Invest Selangor dan UOB Malaysia, bertujuan memperkukuh ekosistem pelaburan Selangor.

Kerjasama berkenaan akan memudahkan pelanggan UOB Malaysia yang berhasrat untuk menubuhkan atau mengembangkan operasi di negeri ini, dengan UOB Malaysia menyediakan penyelesaian kewangan yang komprehensif, termasuk pembiayaan pelaburan, sokongan nasihat dan perkhidmatan akaun korporat.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam inisiatif promosi pelaburan domestik dan antarabangsa, disokong oleh penerbitan promosi bersama dan usaha pemasaran digital.

Dalam itu, UOB Malaysia akan turut membantu dalam mengembangkan rantaian bekalan tempatan dengan menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana kepada peluang daripada projek pelaburan asing, sekali gus meningkatkan penyertaan mereka dalam industri bernilai tinggi.

‎-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan