WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PERLU LEBIH MAKLUMAT BAGI PERTIMBANG SELANJUTNYA CADANGAN KEDAH AEROTROPOLIS

20/11/2025 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan mempertimbangkan selanjutnya permohonan berkenaan dengan cadangan Projek Pembangunan Kedah Aerotropolis selepas KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd menyelesaikan perkara yang dibangkitkan, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).

MOT menjelaskan KXP AirportCity telah diminta mengemukakan maklumat lanjut berdasarkan ulasan yang dikemukakan kementerian/agensi Pusat untuk penelitian semula pihak kerajaan mengenai cadangan itu.

“Selaras dengan pembentangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, MOT telah mengemukakan surat rasmi bertarikh 26 Mac, 2025 kepada KXP Airport City dan disalinkan kepada kerajaan negeri Kedah.

“Pihak pemohon telah diminta untuk mengemukakan maklumat lanjut untuk penelitian semula pihak kerajaan,” menurut MOT dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan laman sesawang Parlimen hari ini.

MOT menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai usaha pihak berkuasa atau pihak berkepentingan untuk mempercepat proses kelulusan Kedah Aerotropolis dan jangkaan tempoh kelulusan akan diperolehi memandangkan projek itu dapat meningkatkan ekonomi kawasan utara.

MOT menjelaskan, mengambil kira pandangan yang dikemukakan itu, KXP AirportCity diminta untuk mengemukakan langkah terhadap impak ke atas operasi pangkalan utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pelan kontigensi kewangan, unjuran penyata kewangan dalam akaun yang diaudit dan penjelasan bersertakan dokumen sokongan berhubung komitmen perkhidmatan serta unjuran kargo.

MOT memaklumkan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati penilaian ekonomi menunjukkan tiada dokumen dan bukti kukuh bagi menyokong kemampuan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) untuk mendapatkan RM5.67 bilion bagi menampung fasa satu projek itu.

CAAM juga mendapati permohonan itu tidak mempunyai strategi mitigasi risiko untuk mendapatkan dana daripada pelabur di samping tiada permintaan dan komitmen yang kukuh bagi perkhidmatan kargo penuh untuk beroperasi di KXP serta unjuran kargo yang disediakan adalah tidak realistik, jelasnya.

Kementerian itu menambah, TUDM pula membangkitkan kesan pembangunan KXP terhadap pengurusan trafik udara, keselamatan dan stabiliti pertahanan serta operasi pangkalan utama TUDM.

KXP AirportCity telah mengemukakan permohonan lengkap Cadangan Projek Pembangunan Kedah Aerotropolis kepada MOT pada 9 Sept, 2024.

Pada 12 Mac, 2025 MOT telah membentangkan cadangan Permohonan Penubuhan Aerodrom Bagi Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan hala tuju bagi penubuhan KXP.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan