WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR BERLEPAS KE AFRIKA SELATAN UNTUK HADIRI SIDANG KEMUNCAK PEMIMPIN G20

21/11/2025 01:27 AM

Oleh M. Saraswathi

ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas dari Ethiopia ke Johannesburg, Afrika Selatan yang menjadi negara kedua daripada tiga negara yang dikunjungi beliau di Afrika, selepas mengakhiri lawatan di sini.

Pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole, Addis Ababa pada 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).

Anwar mengadakan lawatan kerja ke Afrika Selatan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg sebagai tetamu Pengerusi G20 dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa. Afrika Selatan merupakan Presiden G20 pada masa ini.

Anggota G20 terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, barisan pegawai kerajaan serta delegasi perniagaan Malaysia.

Pada 2024, Afrika Selatan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai US$1.71 bilion (RM7.82 bilion).

Eksport Malaysia ke Afrika Selatan berjumlah US$840 juta (RM3.84 bilion) manakala import sebanyak US$870 juta (RM3.98 bilion).

Afrika Selatan adalah negara paling selatan benua Afrika dan mempunyai penduduk lebih 63 juta orang.

Anwar dijadualkan berlepas ke Nairobi, Kenya pada 23 November sekali gus melengkapkan lawatan beliau ke Afrika.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan