Oleh Mohd Khairi Idham Amran
MEMBAKUT, 21 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut Rusman Dulamit memberi tumpuan kepada golongan muda, peniaga kecil serta usaha menyelesaikan isu infrastruktur setempat dalam kempennya.
Beliau yang mesra dipanggil Cikgu Rusman berkata pada peringkat awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini, fokusnya lebih terarah kepada mendekati pengundi muda yang merupakan kelompok signifikan di kawasan itu.
Rusman, 55, berkata pengalaman beliau sebagai bekas pendidik di kawasan berkenaan akan memberikan kelebihan untuk mendekati golongan muda.
“Ini adalah bekas anak-anak murid saya. Mereka sudah mengenali saya di Membakut dan mudah untuk berjumpa dengan anak-anak muda ini,” katanya kepada Bernama selepas bertemu jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Binsulok, DUN Membakut di sini baru-baru ini.
Beliau berkata antara isu yang dibangkitkan golongan muda adalah latihan kemahiran bagi pelajar yang kurang berkemampuan.
“Kita perlu membantu supaya pelajar yang tidak bernasib baik ini dapat melanjutkan pengajian, kita cuba bantu ke arah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Rusman berkata beliau turut mencadangkan pembentukan pasukan badan pemikir belia khusus sebagai platform mengenal pasti keperluan generasi muda di Membakut.
“Pasukan ini akan melibatkan semua lapisan kaum yang ada di Mambakut untuk kita duduk sama-sama berbincang keperluan belia,” katanya.
Selain itu, Rusman berkata beliau turut akan memberi perhatian khusus kepada golongan peniaga kecil, termasuk peniaga pasar atau tamu di Membakut yang kebanyakannya tergolong dalam kategori B40.
“Saya lihat harapan daripada usahawan dan peniaga kecil supaya diberikan bantuan daripada pihak kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Rusman berkata beliau yakin mempunyai peluang cerah untuk mendapat kepercayaan pengundi DUN Membakut yang pernah menjadi kubu kuat BN kerana disokong oleh rekod pemimpin parti itu di kawasan berkenaan.
Beliau berkata banyak pembangunan yang dibuat di Membakut dan Bongawan yang terletak di bawah Parlimen Kimanis hasil usaha Ahli Parlimen Kimanis daripada BN Datuk Mohamad Alamin.
Pada PRN kali ini, BN meletakkan calon di 45 kerusi DUN termasuk Membakut yang akan ditandingi oleh Rusman selaku muka baru dalam pertembungan 10 penjuru bagi mencabar Datuk Mohd Arifin Mohd Arif daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah menyandang kerusi berkenaan sejak 2004.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
| N31: MEMBAKUT: SABAH: 18,563 | ||||||||||||||||||||
|
||||||||||||||||||||
| (2020: Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif: PN-Bersatu: Maj: 3,421) | ||||||||||||||||||||
| -- BERNAMA |
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial