WILAYAH - SABAH > BERITA

KEROPOK AMPLANG JADI BUAH TANGAN POPULAR DARI TAWAU

21/11/2025 04:21 PM

 

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 21 Nov (Bernama) -- Jika Terengganu sinonim dengan keropok lekor, Sabah atau lebih tepat Tawau pula cukup terkenal dengan keropok amplang.

Keropok berbentuk bulat dengan pelbagai perisa dan warna berasal dari Tawau itu merupakan antara makanan ringan yang sering dijadikan buah tangan popular dari Sabah.

Pengusaha keropok amplang di Merotai di sini, Kasmah Basiran, 69, berkata beliau terlibat dengan perusahaan membuat amplang sejak 2000 dengan bermula dari rumah dan kini sudah memiliki kilang pemprosesan produk makanan ringan itu.

"Tujuan saya hanya untuk menambah pendapatan keluarga bagi membantu suami membesarkan enam anak dengan mulanya kami anak-beranak sahaja terlibat menghasilkan amplang sebanyak 15 kilogram (kg) sehari.

"Kemudian pengeluaran meningkat kepada 30 kg, selepas itu bertambah menjadi 420 kg sehari dan kini 800 kg sehari dengan bantuan 17 pekerja terdiri daripada belia Merotai," katanya kepada Bernama.

Kasmah berkata keropok amplang yang dihasilkannya berperisa ikan, sotong, udang, pandan dan terbaharu perisa coklat dengan jualan boleh mencecah 800 kg sehari.

"Kilang memproses amplang beroperasi 24 hari dalam sebulan dan jualan boleh meningkat sehingga satu tan sehari terutama pada musim cuti sekolah dan musim perayaan.

"Buat masa ini, penghasilan keropok itu dilakukan secara manual, amplang yang siap kemudian dibungkus dalam pelbagai saiz, iaitu 1 kg, 500 gram (g), 100g serta 70g," katanya.

Kasmah berkata beliau bersyukur kerana mendapat pelbagai bantuan daripada agensi kerajaan dalam mengembangkan perusahaan amplang antaranya Jabatan Perikanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). 

“Bantuan yang diberikan bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga berupa sumbangan peralatan seperti mesin penggoreng, mesin pengadun dan peti sejuk beku. Ada juga agensi yang membantu dari segi promosi produk," katanya.

Beliau berkata produk amplangnya kini sudah dijual di seluruh negara selain berjaya menembusi pasaran Brunei.

"Inisiatif mengusahakan amplang ini bukan hanya menambah baik sumber pendapatan keluarga tetapi memperkenalkan Merotai ke seluruh negara," katanya.

Kasmah turut berharap kerajaan dapat menambah bantuan bagi membesarkan lagi kilang pengeluaran amplangnya sekali gus mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia di kawasan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan