WILAYAH - TENGAH > BERITA

SELANGOR RANGKA KERTAS DASAR KAWAL SELIA ROKOK ELEKTRONIK

21/11/2025 07:06 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor sedang merangka kertas dasar hala tuju kawal selia produk rokok elektronik atau vape pada peringkat negeri termasuk berkaitan kempen larangan penggunaan alat itu. 

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata dasar itu akan digubal secara menyeluruh dan selaras dengan pendekatan digariskan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Ia akan mengambil kira realiti semasa pasaran, kesan terhadap kesihatan awam serta keperluan memperkukuh penguatkuasaan melalui kerjasama antara agensi negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi Persekutuan berkaitan.

“Kerajaan negeri juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Kesihatan Selangor dan PBT dalam membincangkan pelaksanaan kempen larangan penggunaan vape di negeri ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Jamaliah menjawab pertanyaan lisan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri dapat melaksanakan kempen larangan penggunaan vape.  

Dalam pada itu, Jamaliah berkata langkah untuk menurunkan papan tanda iklan dan promosi berkaitan vape telah dilaksanakan secara berperingkat di premis menjual alat itu di seluruh Selangor.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut merancang untuk melaksanakan program kesedaran serta advokasi lebih bersasar, khususnya kepada golongan belia bagi meningkatkan kesedaran risiko dan kesan penggunaan vape terhadap kesihatan.

“Program ini akan memberi tumpuan kepada penyertaan pelajar sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) melalui penganjuran karnival kesedaran, ceramah advokasi, sesi interaktif serta aktiviti berbentuk pendidikan berasaskan gaya hidup sihat,” katanya.

Jamaliah berkata kempen itu turut menyediakan kemudahan klinik kesihatan merangkumi talian sokongan bagi membantu individu yang ingin berhenti menghisap vape dan perkhidmatan ujian saringan ketagihan nikotin. 

“Pendekatan secara menyeluruh dan komprehensif ini diharap meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan belia serta memperkukuh usaha kerajaan negeri menangani isu penggunaan vape secara bersepadu pada peringkat komuniti dan institusi pendidikan,” katanya.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan