KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Mayat penyelia pembinaan yang dihanyutkan arus deras Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lepas ditemukan berhampiran Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor kira-kira 65 kilometer (km) dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam mengesahkan mayat ditemukan pada 10.30 pagi tadi.
“Mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian 5.40 petang Isnin, K Suresh, 37, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma selepas terperangkap di bawah jambatan.
Insiden turut melibatkan 11 mangsa lain yang terperangkap di bawah jambatan namun mereka berjaya diselamatkan.
Pada sidang media petang ini, Sazalee berkata identiti mangsa telah disahkan oleh ahli keluarga berdasarkan ciri fizikal termasuk tatu nama pada tangan.
“Mayat cukup sifat namun mula mereput selepas lima hari hilang dengan pakaian sedikit koyak dan tanpa kasut,” katanya.
Beliau berkata mayat ditemukan tersangkut pada perangkap sampah di Kampung Sungai Kandis dan kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat dijangka diserahkan kepada keluarga esok selepas proses bedah siasat,” katanya.
Susulan penemuan itu, Sazalee berkata Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup pada 3 petang.
Terdahulu, usaha mencari dan menyelamat mangsa pagi tadi diperluaskan sejauh 30 km dari lokasi kejadian melibatkan 200 anggota polis, bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial