WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERMOHONAN TUJUH BEKAS BANDUAN KANAK-KANAK SEMAK TAHANAN TANPA TEMPOH DIDENGAR 24 NOV

21/11/2025 06:39 PM

PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan Isnin ini untuk mendengar permohonan tujuh bekas banduan kanak-kanak yang disabitkan dengan kesalahan serius, supaya dibenarkan menyemak semula keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka ditahan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Permohonan yang difailkan Mac lepas mengikut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1955 menyatakan pemenjaraan mereka untuk tempoh yang tidak dinyatakan di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 telah mencabuli hak mereka yang dijamin oleh Perkara 5(1) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan diri dan kesamarataan di sisi undang-undang).

Mereka berhujah telah berlaku perubahan dalam peruntukan undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup, yang kini digantikan dengan sama ada hukuman mati mengikut budi bicara mahkamah atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Peguam mewakili pemohon, Abdul Rashid Ismail ketika dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran dan pemfailan permohonan terbabit.

Dalam permohonan yang difailkan secara berasingan dan dilihat oleh Bernama, para pemohon menyatakan terdapat perubahan undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat, sekali gus menuntut supaya hukuman mereka disemak dan dipertimbangkan semula.

Mereka mendakwa bahawa mereka telah mengalami ketidakadilan yang serius dan tiada cara lain untuk membetulkan ketidakadilan itu, memandangkan telah berlaku pindaan dalam undang-undang.

Tujuh banduan terbabit yang kini berusia antara 26 hingga 35 tahun disabitkan dengan kesalahan membunuh, menculik dan mengedar dadah yang dilakukan semasa mereka masih remaja.

Disebabkan masih di bawah umur ketika kesalahan berlaku, mereka diijatuhi hukuman ditahan di penjara ‘selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong’, sebagai ganti hukuman mati mandatori.

Dalam afidavit mereka bagi menyokong permohonan berkenaan, mereka menyatakan telah dinasihati peguam bahawa Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 2023 telah memansuhkan hukuman mati mandatori dan penjara seumur hidup. 

Sehubungan dengan itu, penahanan mereka tanpa tempoh tertentu memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan bagi mengelakkan ketidakadilan terhadap mereka (pemohon).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan