WILAYAH - SABAH > BERITA

GELARAN, KELAYAKAN SAH, DIPERAKUI DAN ADA REKOD RASMI - ANIL SANDHU

22/11/2025 12:14 PM

KUNAK, 22 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak Datuk Seri Dr Anil Sandhu menjelaskan segala gelaran serta kelayakan termasuk akademik yang diperolehnya adalah sah, diperakui dan mempunyai rekod rasmi. 

Beliau berkata tuduhan yang dilemparkan kononnya gelaran dan kelayakan itu tidak sah adalah tidak benar, dibuat dengan niat jahat untuk merosakkan nama baiknya sebagai calon BN bagi DUN Kunak.

“Saya kesal apabila budaya politik fitnah kembali dijadikan senjata oleh pihak yang takut berdepan dengan persaingan secara sihat. 

“Mereka tahu bahawa rakyat Kunak semakin matang dan menilai calon berdasarkan kerja serta kemampuan, bukan berdasarkan cerita rekaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anil berkata politik mesti dijadikan wadah untuk membina dan memajukan masyarakat, bukan tempat menjatuhkan sesama sendiri dengan pembohongan dan tuduhan yang direka tanpa asas.

Beliau berkata menabur fitnah bukan sahaja satu tindakan tidak bermoral malah mencerminkan betapa tandusnya idea mereka yang menyebar fitnah.

Anil juga percaya rakyat Kunak cukup cerdik untuk menilai dan membezakan kebenaran daripada pembohongan. 

“Ramai yang telah menjadi mangsa fitnah politik dan akhirnya kebenaran muncul juga dan berharap agar orang ramai tidak mendengar dan membiarkan pihak yang gemar memutar belit fakta menipu masyarakat.

“Teruskan fokus kepada agenda pembangunan, masa depan anak-anak kita dan kemajuan Kunak, marilah kita tolak politik fitnah dan pilih jalan yang bersih serta berintegriti,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan